Polis Marin rampas 800 liter petrol

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Taktik seorang penyeludup menyembunyikan 32 tong jerikin berisi petrol di kawasan pondohan (rumah) di Pulau Bohey Dulang, dekat sini terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu kawasan itu semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam serbuan 4.30 petang itu seorang lelaki warga asing berumur 23 tahun ditahan.

"Hasil serbuan berkenaan membawa kepada penemuan kira-kira 800 liter minyak petrol yang disyaki hendak diseludup ke Filipina," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pemantauan serta risikan PPM yang berterusan terhadap lelaki terbabit mendapati suspek membawa bekalan petrol sedikit demi sedikit dari Pekan Semporna dan dikumpul di kawasan hutan bakau yang sukar dilalui dan dilihat orang awam.

"Suspek kemudian membawa bekalan ke pondohan sebelum menyeludup keluar minyak berkenaan ke Filipina menggunakan bot," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Pajeri berkata, modus operandi digunakan penyeludup itu tidak menghalang anggota PPM daripada Unit Risikan Marin mengesan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara itu.

Katanya, sebuah bot yang digunakan untuk memunggah dan menyeludup minyak petrol itu turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM16,164.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: