Angka kematian akibat banjir Maghribi meningkat kepada 17

Pasukan Penyelamat Maghribi mencari mayat mangsa bas terbalik akibat arus banjir di tenggara Maghribi - Foto AFP
Pasukan Penyelamat Maghribi mencari mayat mangsa bas terbalik akibat arus banjir di tenggara Maghribi - Foto AFP
A
A
A

RABAT - Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terbalik akibat arus banjir di tenggara Maghribi, kata pihak berkuasa semalam.

Menerusi laporan AFP, pihak berkuasa, penyelamat sudah memulakan operasi mencari mayat mangsa sejak kejadian berkenaan berlaku Ahad lalu apabila bas itu terbalik di jambatan lembah, berhampiran bandar Errachidia.

Mereka berkata, 29 penumpang lagi dibawa ke hospital dengan pelbagai kecederaan tetapi berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke hospital Errachidia.

Manakala pekerja penyelamat masih meneruskan operasi pencarian mereka selepas mayat enam penumpang ditemui di lokasi manakala 11 lagi dijumpai tidak lama kemudian.

Pemandu bas yang pada awalnya disenaraikan sebagai antara mangsa hilang, muncul di hospital semalam dan kini berada di bawah pengawasan polis.

Penumpang yang tercedera ketika diwawancara oleh Medi1TV berkata, mereka sedang dalam perjalanan apabila kawasan sekitar secara tiba-tiba ditenggelami air.

"Kami berada di jalan apabila tiba-tiba, kami dikelilingi oleh air. Bas itu tidak dapat berundur atau bergerak ke depan dan terus terbalik,” kata seorang wanita.

Maghribi dilanda ribut ganas sepanjang musim panas tahun ini, menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan pergunungan.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir Ogos lalu, sebuah padang bola dinaiki air di selatan Taroudant menyebabkan lapan orang terbunuh.

Manakala pada Julai pula, 15 orang maut dalam tanah runtuh akibat banjir kilat di sebatang jalan di selatan Marrakesh.

Banjir sering berlaku di negara Afrika Utara. Pada 2014, kira-kira 50 penduduk maut akibat bencana tersebut.