Kesalahan rasuah oleh syarikat

A
A

PADA 5 April 2018, Parlimen telah meluluskan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) dengan memasukkan Seksyen 17A yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.

Di bawah Seksyen 17A(8), ‘organisasi komersial’ merujuk kepada (i) syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; (ii) syarikat asing yang berniaga di Malaysia; (iii) perniagaan perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961 dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, serta (iv) perniagaan perkongsian asing yang berniaga di Malaysia.

Jika Akta SPRM sebelum ini hanya memperuntukkan pendakwaan rasuah terhadap orang perseorangan, kini Akta SPRM turut mencakupi pendakwaan rasuah terhadap syarikat dan perkongsian.

Dalam erti kata lain, syarikat berlabel ‘sendirian berhad’ dan ‘berhad’ juga boleh didakwa kerana rasuah!

Justeru, para pengarah dan pengurusan syarikat dan perkongsian di Malaysia perlu memastikan bahawa mereka sedar akan peruntukan undang-undang baharu ini.

Berdasarkan kepada pengamatan saya, masih ramai dalam kalangan pengarah syarikat dan firma perkongsian yang tidak sedar atau kurang jelas dengan kewujudan Seksyen 17A. Ini amat berbahaya!

Jika sesebuah syarikat disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, syarikat tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jadi, jika syarikat anda didapati melakukan kesalahan rasuah di bawah Seksyen 17A, siapakah yang bakal dikenakan tindakan bagi pihak syarikat? Seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 17A(3), pengarah, pengawal syarikat, pegawai, rakan kongsi, atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pengurusan syarikat tersebut boleh didakwa di bawah seksyen ini bagi pihak syarikat.

Ini bermaksud, jika anda ialah pengarah syarikat, dan jika syarikat anda didakwa di bawah Seksyen 17A, biarpun aktiviti rasuah itu tidak dilakukan oleh anda, sebaliknya dilakukan oleh pegawai-pegawai atau pekerja-pekerja syarikat, anda sebagai pengarah akan dipertanggungjawabkan. Sudah bersediakah anda, sebagai pengarah, untuk menanggung risiko ini?

Walaupun begitu, Seksyen 17A ini bukanlah sekejam yang disangka. Seksyen 17A turut memperuntukkan dua jenis pembelaan kepada pengarah, atau pegawai, atau rakan kongsi syarikat/perkongsian seandainya syarikat/firma perkongsian mereka didakwa di bawah Seksyen 17A.

Pembelaan pertama, Seksyen 17A(3) memperuntukkan pembelaan kepada pengurusan syarikat untuk membuktikan bahawa kesalahan rasuah tersebut berlaku tanpa keizinan atau pengetahuan mereka dan mereka telah berusaha untuk memastikan tiada aktiviti rasuah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Untuk pembelaan kedua, Seksyen 17A(4) telah memperuntukkan bahawa pengurusan syarikat tersebut boleh membela diri menggunakan alasan bahawa syarikat tersebut telah mempunyai prosedur dan polisi antirasuah yang mencukupi bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang aktiviti rasuah oleh kakitangan syarikat tersebut.

Seksyen 17A(4) adalah amat penting dalam memastikan pembelaan untuk kes ini boleh dilakukan kelak. Semata-mata menyatakan kepada mahkamah bahawa syarikat anda mempunyai prosedur antirasuah tetapi tidak mempunyai pelaksanaan yang baik dan mencukupi juga tidak cukup kuat untuk dijadikan pembelaan.

Jabatan Perdana Menteri juga telah mengeluarkan ‘Garis Panduan Tatacara Mencukupi’ mengenai prosedur antirasuah dalam kalangan organisasi komersial yang perlu diambil perhatian oleh pengurusan syarikat/perkongsian.

Rujukan terhadap ISO 37001:2016 mengenai pengurusan antirasuah juga adalah satu inisiatif yang baik.

Oleh itu, para pengarah, rakan kongsi dan pengurusan syarikat/perkongsian perlu mengambil serius akan hal ini dan dinasihatkan untuk menderaf dan melaksanakan satu prosedur atau polisi antirasuah dalam syarikat masing-masing, serta harus memastikan pelaksanaannya adalah mencukupi.

Kini Akta SPRM turut mencakupi pendakwaan rasuah terhadap syarikat dan perkongsian. Dalam erti kata lain, syarikat berlabel ‘sendirian berhad’ dan ‘berhad’ juga boleh didakwa kerana rasuah!”