Mengapa wajib falsafah?

A
A

SAYA banyak kali ditanya mengapa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta agar subjek Falsafah dan Isu Semasa diwajibkan ke atas semua mahasiswa IPT?

Adakah YB ingin menjadikan rakyat Malaysia itu ahli falsafah? Bukankah falsafah itu bidang 'orang gila' bercakap pasal perkara-perkara yang orang normal tidak faham?

Subjek wajib Falsafah dan Isu Semasa ini bukan untuk mendidik semua mahasiswa menjadi ahli falsafah sebagaimana subjek agama yang wajib diambil tidak mendidik semua jadi ulama!

Melalui tajuknya sahaja sudah jelas bahawa ia ingin membina pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa bila menilai isu-isu semasa.

Ia bukan belajar falsafah demi falsafah sendiri tetapi ia adalah belajar falsafah dengan tujuan untuk lebih memahami keluasan skop dan konteks isu semasa.

Ia lahir hasil kesedaran bahawa wujud usaha global kolonialisasikan negara kita dalam pelbagai cara bukan sekadar jasmani tetapi termasuk kolonialisasi rohani, emosi dan intelek.

Memandangkan rakyat kita adalah majmuk dan pada masa yang sama Islam adalah agama Persekutuan, maka Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM, telah menerajui perjuangan agar subjek Falsafah dan Isu Semasa diletakkan di atas landasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Rukun Negara.

Cadangan beliau diterima oleh Kementerian dan oleh jawatankuasa yang membuat silibus subjek sebulat suara. Perkataan 'sejahtera' yang jelas dinyatakan dalam FPK telah dipilih sebagai kata kunci utama.

Bahkan subjek falsafah dikaitkan juga dengan subjek baru yang bertajuk Penghayatan Etika dan Peradaban.

Tujuan praktikal falsafah adalah membina insan yang beretika iaitu seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Insan mikrokosmos dan peradaban adalah makrokosmos.

Rukun Negara

Secara ringkasnya, dasar hasil pembelajaran subjek Falsafah dan Isu Semasa ialah pelajar mampu menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara secara kritis dan merdeka. Apa kaitan subjek Falsafah dengan Rukun Negara? Rukun Negara yang pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan.

Kita memulakan perbincangan falsafah tentang Rukun Kepercayaan Kepada Tuhan dengan soalan ini, "Apa makna percaya di sini? Adakah sama percaya kepada kewujudan drakula sama dengan percaya kepada kewujudan Tuhan?"

Sudah tentu tidak sebab kepercayaan kepada drakula adalah karut dan kepercayaan kepada Tuhan adalah kebenaran.

Maka, di sini kepercayaan kepada Tuhan adalah kepercayaan yang bersifat benar, bukan palsu. Ini bermakna rakyat Malaysia yang sejati adalah rakyat yang menghayati kebenaran wujudnya Tuhan.Tuhan bukan wujud di minda sebagai fiksyen superhero Marvel.

Tuhan bukan rekaan psikologi manusia. Pendidikan wajib tolak falsafah Karl Marx yang berkata, agama adalah candu termasuk kepercayaan kepada Tuhan. Kepercayaan kepada Tuhan bukan hasil khayalan seseorang ketika dia mabuk dengan candu.

Kepercayaan kepada Tuhan adalah hakikat sebenar dan bukan seperti kepercayaan seorang lelaki transgender bahawa beliau ialah seorang perempuan secara psikologi walaupun zahirnya lelaki!

Kepercayaan kepada Tuhan bukan hasil penyakit psikologi seperti dakwaan ahli falsafah Nietzsche dan ahli psikologi Sigmund Freud.

Tetapi mungkin ada yang mempersoalkan tentang bagaimana kamu tahu Tuhan itu benar-benar wujud? Maka, sekarang timbul pula isu falsafah tentang apakah justifikasi iaitu hujah yang menyokong kenyataan bahawa Tuhan itu wujud. Ini bermakna kepercayaan bukan sekadar perlu bersifat benar tetapi perlu dijustifikasikan oleh hujah.

Maka, adakah makna Kepercayaan Kepada Tuhan hanya sekadar bersifat benar dan ia hanyalah kebenaran yang dipaksakan ke atas rakyat oleh kerajaan, guru-guru agama dan keluarga tanpa justifikasi hujah?

Generasi muda sekarang banyak terdedah kepada informasi ateisme. Kadang-kadang seorang anak mungkin wujud keraguan dalam dirinya tentang kewujudan Tuhan, lalu terpendam atau berhujah secara terbuka.

Bila seorang pendidik gagal menjawab hujahnya dan keraguannya dengan hikmah, maka anak ini akan tinggalkan agama terus.

Falsafah ialah suatu bidang yang menyediakan guru-guru untuk menjawab persoalan-persoalan mencabar ini dengan hikmah. Bahkan makna falsafah adalah cinta hikmah. Kesejahteraan adalah berlandaskan hikmah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.