Piagam UMNO-Pas beri manfaat untuk semua kaum

Wan Hisham Wan Salleh
Wan Hisham Wan Salleh
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO pada 14 September ini diharap tidak hanya eksklusif kepada Melayu dan Islam sebaliknya inklusif terhadap kepentingan orang bukan Melayu dan Islam.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau percaya perjanjian itu akan memberikan manfaat besar kepada seluruh rakyat negara ini.

“Piagam antara kedua-dua parti ini adalah ke arah penyatuan, sebagaimana yang dianjurkan nabi kita supaya kita bersatu dalam menjaga kepentingan umat Islam dan mempertahankan perlembagaan, tanpa menafikan hak orang-orang bukan Melayu dan orang bukan Islam.

“Saya percaya ia akan membuka lembaran baharu dan mengukuhkan lagi ‘taawun siyasi’ antara Pas dan UMNO, dengan meletakkan kepentingan kedua-dua parti secara seimbang dan kepentingan kedua-duanya turut diambil kira,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memandang sinis terhadap piagam itu, beliau berkata, jika PH sendiri yang mempunyai agenda yang berbeza boleh bersama, ia tidak mustahil bagi Pas dan UMNO.

“PH sendiri tidur sebantal tapi mimpi berbeza boleh bekerjasama demi kepentingan bersama, inikan pula orang-orang Islam yang bersaudara.

“Saya melihat piagam ini boleh berjaya dan berpanjangan, daripada PH yang dianggarkan hanya sepenggal sahaja. Kekuatan PH hanya di atas perpecahan di kalangan orang Melayu dan Islam sebelum ini,” katanya.

Wan Hisham turut optimis kekuatan dan penyatuan orang Islam akan menggagalkan semua usaha PH, kerana PH sendiri tidak mempunyai kekuatan, sebaliknya bersandarkan kepada perpecahan orang Melayu.

Artikel Berkaitan: