Mayat lelaki ditemukan di Sungai Kiabau, Telupid

No Image Caption
A
A
A

BELURAN - Mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemukan di tepi Sungai Kiabau, Telupid dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat lelaki berusia lingkungan 50-an itu dalam keadaan tertiarap di tepi sungai pada jam 1.15 petang.

"Mangsa berpakaian lengkap berbaju kemeja T dan memakai seluar panjang. Siasatan di lokasi mempercayai mangsa telah lemas dibawa oleh arus sungai.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan dan mempercayai tiada sebarang unsur-unsur jenayah," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kasim berkata, mangsa yang dipercayai tidak pandai berenang, telah dibawa oleh arus deras sungai sehingga mengkibatkan mati lemas.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Dutches of Kent, Sandakan untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Kasim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kejadian membabitkan mangsa menghubungi 'hotline' Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 089-511222. - Bernama

Artikel Berkaitan: