Remaja maut, motosikal berlanggar dengan kereta

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran gedung beli-belah Keluargaku di Bukit Baru di sini. (Gambar kecil: Muhammad Fa'iz)
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta awal pagi tadi di persimpangan lampu isyarat berhampiran gedung beli-belah Keluargaku di Bukit Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa Muhammad Fa'iz Junaidi, 17, dari Taman Bukit Rambai, maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki, kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa dipercayai telah terlanggar sebuah kereta yang memasuki simpang di pertengahan lampu isyarat.

Keadaan kereta terlibat.
Keadaan kereta terlibat.

"Kejadian kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu seorang pelajar berusia 22 tahun yang bergerak dari arah lampu isyarat Bukit Piatu telah membelok ke kanan arah lampu isyarat Jabatan Agama Islam (Jaim) telah dilanggar motosikal mangsa dari arah lampu isyarat Melaka Sentral menuju lampu isyarat Bukit Piatu.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua kenderaan ditahan bagi pemeriksaan Puspakom," katanya.

Tambah Afazanizar lagi, pemandu kereta juga telah dibawa ke Hospital Melaka bagi tujuan diambil sampel darah untuk mengesan kandungan dadah dan alkohol.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia