Ahmad Syukran, Md Zaki dominasi perlumbaan Pusingan 6

Ahmad Syukran (tengah) meraikan kemenangan sulungnya musim ini selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 6 di Teluk Intan, Perak semalam.
Ahmad Syukran (tengah) meraikan kemenangan sulungnya musim ini selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 6 di Teluk Intan, Perak semalam.
A
A
A

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff kembali mempamerkan taringnya apabila muncul juara bagi kelas CP115 dengan catatan masa sembilan minit 44.542 saat sekali gus mengatasi kekecewaannya pada Pusingan 5 di Terengganu sebelum ini.

Tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 9:44.549s manakala Md Aiman Azman (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di tempat ketiga dengan catatan masa 9:47.745s.

Kejayaan di Teluk Intan, Perak itu menjadi kemenangan sulung buat Ahmad Syukran musim ini selepas dibelenggu dengan badi gelaran naib juara dalam empat pusingan sebelum ini.

Kemenangan tersebut turut mengukuhkan kedudukan Ahmad Syukran untuk memburu gelaran juara keseluruhan musim ini selepas mengumpul 109 mata.

Sementara itu, pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Ahmad Zamri menepati ramalan apabila muncul juara kelas Wira.

Md Zaki menamatkan penantian bergelar juara kelas Wira di Pusingan 6 semalam.
Md Zaki menamatkan penantian bergelar juara kelas Wira di Pusingan 6 semalam.

Zaki menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 8:01.922s, meninggalkan pencabarnya, Md Aliff Danial Md Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan masa 8:02.100s. Tempat ketiga menjadi milik Md Adam Haikal Jahar (Pertonas Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan masa 8:09.292s.

Kemenangan itu menyaksikan Zaki semakin menghampiri impiannya untuk bergelar juara keseluruhan selepas mengutip 110 mata sebaik selesai saingan Pusingan 6 di Teluk Intan semalam.

Artikel Berkaitan:

Begitupun perlumbaan bagi kelas Wira tertangguh hampir sejam ekoran hujan lebat sebelum pegawai perlumbaan mengesahkan keadaan litar selamat untuk digunakan.

Aksi seterusnya akan berlangsung di Kangar, Perlis yang menjadi tuan rumah untuk Pusingan 7.