Keluarga Mugabe berlepas ke Singapura

Robert Mugabe
Robert Mugabe
A
A
A

HARARE - Ahli keluarga terdekat dan pegawai kerajaan dilaporkan berlepas dari Zimbabwe hari ini bagi membawa pulang mayat bekas presiden Robert Mugabe dari Singapura di mana dia menghembuskan nafas terakhir Jumaat lalu.

Anak saudara bekas pemimpin Zimbabwe itu, Leo Mugabe berkata, sebuah pesawat berlepas dari Harare pada jam 9 pagi (waktu tempatan) dan rombongan dijangka pulang pada Rabu.

Setibanya di tanah air, mayat Mugabe yang meninggal dunia pada usia 95 tahun akan dibawa terus ke kampungnya di Zvimba sebelum ditempatkan di Stadium Rufaro di bandar Mbare selama dua hari bermula Khamis bagi membolehkan orang awam memberi penghormatan terakhir.

Majlis pengebumian rasmi akan dijalankan pada Sabtu di Stadium Sukan Negara terletak di Harare.

"Kemudian ketua tradisi akan mengebumikan beliau pada Ahad, lokasinya saya tidak tahu," kata Leo.

Lokasi pengebumian akhir masih belum ditentukan susulan pertikaian antara keluarga Mugabe dan kerajaan sama ada bekas presiden itu harus dikebumikan di rumahnya di barat laut Harare atau di tugu peringatan wira di ibu kota. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Robert Mugabe meninggal pada usia 95 tahun

Pemergian Mugabe tidak ditangis

Artikel Berkaitan: