Mansuh skim pencen: Kikis sikap memangsakan rakyat

Mohd Aizuddin
Mohd Aizuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyelar cadangan mahu mansuhkan skim pencen penjawat awam dan digantikan dengan lantikan kontrak.

Timbalan Ketuanya, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mengikis sikap memangsakan rakyat dalam pentadbiran kerajaan.

Malah, katanya, menteri yang dilantik harus mempunyai idea lebih kritis, bukannya hanya bergantung kepada cadangan-cadangan Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha atau Setiausaha Bahagian semata-mata.

“Saya tidak faham, bagaimana timbulnya pandangan yang menjurus kepada memangsakan rakyat masih ditimbulkan ketika keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH semakin dipersoalkan.

“Belum pun reda isu persaraan dilanjutkan ke 65 tahun, ada pula pandangan agar skim pencen penjawat awam dimansuhkan dengan lantikan kontrak,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Aizuddin yang juga Exco AMK Malaysia berkata, kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah menggambarkan seolah pemberian pencen kepada penjawat awam adalah bebanan kewangan kerajaan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Beliau sepatutnya memikirkan bagaimana untuk menjamin kedudukan dan mengangkat taraf penjawat awam sedia ada.

“Jika perkara asas tidak menjadi landasan untuk beliau menerajui perkhidmatan awam, lebih baik lepaskan jawatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau sewajarnya menumpukan usaha mempertingkatkan kebolehcekapan dan kualiti perkhidmatan.

“Kerajaan perlu lebih sensitif dalam apa jua tindak tanduk yang akan dilaksana, usaha merendahkan martabat penjawat awam tidak perlu dipertimbangkan sama sekali.

“Alasan penjimatan bukan ukuran kepada kejayaan Jabatan Perkhidmatan Awam atau kerajaan,” katanya.

Mohd Aizuddin berkata, pentadbiran sedia ada perlu melihat sesuatu isu dalam kerangka lebih luas, jangan dilihat seolah kerajaan ketandusan idea dalam mentadbir negara.

“Skim pencen kepada penjawat awam adalah satu penghargaan, pengiktirafan dan keistimewaan yang mesti dipertahankan.

“Pelbagai mekanisma boleh dilaksana untuk janaan ekonomi negara, seperti cukai kepada orang kaya atau elit boleh dikaji,” katanya.

Menurutnya, kerajaan harus lebih proaktif untuk memastikan pengurusan fiskal yang cekap dan urus tadbir ekonomi yang sihat agar mampu menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.

“Sistem tender terbuka dan telus bagi menjamin harga kompetitif harus di budayakan bagi mengelak ketirisan dan rasuah.

“Hubungan industri tempatan yang lemah dengan memfokus kepada ‘inventor oriented’ perlu diwujudkan agar pembudayaan pengeluaran menjadi hala tuju,” katanya.