Sambutan Hari Malaysia: Tujuh jalan ditutup, dilencongkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Tujuh laluan utama sekitar Padang Merdeka di sini akan ditutup dan dilencongkan sempena sambutan Hari Malaysia 2019, pada 16 September ini bermula pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, laluan yang terlibat ialah Jalan Gambier, lencongan Jalan Gambier ke Main Baazar, Jalan Wawasan dan Jalan Main Bazar dari arah Jalan Lebuh Wayang.

Selain itu, jalan ke Lebuh Wayang dari arah Jalan Ban Hock (St Mary), susur jalan Mcdougall dari arah Jalan Ban Hock (St Mary) dan Jalan Lampu Isyarat RTM ke Padang Merdeka.

"Orang awam yang ingin menghadiri dan menyaksikan majlis sambutan ini disarankan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, teksi, grab, mycar dan sebagainya," katanya pada sidang media mengenai sambutan itu di Ibu pejabat Polis Daerah Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata ketika raptai sambutan pada 12 hingga 14 September laluan berkenaan turut akan ditutup bermula pukul 7 malam sehingga acara selesai.

"Pada 10 dan 11 September juga akan diadakan raptai khas oleh pihak Majlis Seni dan beberapa jalan ke kawasan terbabit juga akan ditutup bermula jam 10 malam," katanya.

Sementara itu, Awang Din berkata, penutupan dan lencongan di laluan keluar masuk Jalan Mcdougall telahpun bermula 5 September lepas dan akan dilanjutkan sehingga 18 September berikutan pembinaan pentas VVIP di kawasan terbabit.

"Orang awam adalah dinasihatkan untuk mengikut papan tanda dan petunjuk arah laluan yang disediakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan arahan pegawai polis trafik yang bertugas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang memandu kenderaan persendirian pada hari sambutan 16 September ini, Awang Din berkata lapan tempat letak kereta disediakan iaitu di Medan Pelita, Bangunan Saujana, kawasan terbuka Baitulmal, Panggung Udara, Reservoir Park, Gereja St Thomas, Dewan Suarah dan Bulatan Padang Pasir.

Katanya dianggarkan 10,000 orang akan menghadiri sambutan itu yang melibatkan pelbagai jabatan dan institusi dan jumlah berkenaan tidak termasuk jumlah pengunjung dari kawasan sekitar termasuk pelancong yang menginap di hotel sekitar Kuching. - Bernama