Tarik pelabur majukan Gunung Pulai

Abd Nasir
Abd Nasir
A
A
A

BALING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris mencadangkan Kedah menarik pelabur dari luar sekiranya tiada kemampuan serta kekangan dana memajukan Gunung Pulai.

Menurutnya, Kedah yang mempunyai hubungan baik dengan China boleh menarik pelabur dari negara berkenaan atau negara-negara lain.

"Salah satu usaha boleh dibuat ialah pembinaan kereta kabel dan titi gantung di Langkawi, keretapi kabel di Bukit Bendera, Pulau Pinang mahupun jambatan lantai kaca seperti di China.

"Cadangan bina kereta kebel dan jambatan lantai itu saya telah sebut dalam Sidang DUN baru-baru ini.

"Jika Kedah tiada dana dan kemampuan, mungkin dengan menarik pelabur dapat memajukan Gunung Pulai dan Baling sebagai eko-pelancongan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, salah satu contoh Kedah dapat majukan Kulim Hi-Tech dengan menarik masuk pelabur luar negara membuka kilang sekali gus meningkatkan pendapatan negeri.

"Jika kita laksanakan kuari, untungnya tidak berpanjangan. Batu gunung akan habis, penduduk dan alam sekitar turut terjejas dengan habuk dan sebagainya.

"Namun jika dimajukan sebagai pelancongan, ekonomi dapat ditingkatkan tanpa merosakkan alam sekitar dengan impak yang buruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, secara tidak langsung ia membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan atau berniaga.

Abd Nasir berkata, kerajaan negeri juga perlu mengambil kesempatan di atas pembinaan lapangan terbang di Betong, selatan Thailand

"Lapangan terbang berkenaan akan siap tidak lama lagi. Jika Baling dimajukan, kita dapat tarik ramai pelancong ke daerah ini kerana jarak di antara kedua-dua tempat yang tidak jauh," katanya.

Bagaimanapun, Abd Nasir secara peribadi lebih bersetuju sekiranya peluang memajukan Baling diberikan kepada anak tempatan.

Beliau berkata, di Kedah termasuk di daerah Baling mempunyai ramai jutawan yang boleh memainkan peranan merealisasikan hasrat berkenaan.

Sinar Harian semalam melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin mencadangkan satu perancangan yang menyeluruh tentang pelancongan di Gunung Pulai.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamatkan Gunung Pulai