Bukan hanya Melayu, semua kaum dijemput ke Himpunan UMNO-Pas

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Semua kaum dan agama dijemput hadir pada program Himpunan Penyatuan Ummah yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat dan Sabtu ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 10,000 penyokong akan hadir bagi menyaksikan UMNO dan Pas menandatangani piagam bersama.

“Ini adalah kerjasama politik dan bukan gabungan politik.

"Ia akan menjadi persaingan yang inklusif di mana semua parti, kaum dan agama juga akan dijemput untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perhimpunan itu akan menunjukkan keutuhan kedua-dua parti dan komitmen mereka bersama.

“Perjanjian yang akan ditandatangani mungkin tidak terikat secara undang-undang tetapi ia menunjukkan komitmen para pemimpin parti, disokong oleh akar umbi,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula berharap kerjasama itu akan melibatkan semua komponen Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gagasan Bersatu Sabah (GBS).

"Kami mempunyai 1,000 sukarelawan beruniform sendiri terdiri dari pasukan sukarelawan UMNO dan Pas untuk mengawal orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, wakil daripada Pakatan Harapan sendiri akan dijemput ke majlis itu.