Bot pukat tunda ceroboh kawasan larangan ditahan

Tiga bot ditahan Jabatan Perikanan Perak kerana menceroboh kawasan nelayan pantai kelmarin.
Tiga bot ditahan Jabatan Perikanan Perak kerana menceroboh kawasan nelayan pantai kelmarin.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Jabatan Perikanan Perak menahan tiga bot pukat tunda bersama enam nelayan yang disyaki menangkap ikan di kawasan larangan iaitu kurang lima batu nautika di perairan Kuala Sepetang di sini kelmarin.

Ketua Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber Kuala Kurau, Nazri Mohd Noh berkata, dua kru warga Myanmar turut ditahan dalam penguatkuasaan yang dijalankan pada jam 6.45 pagi itu.

Menurutnya, tiga bot kelas B didapati telah melakukan aktiviti menunda ikan di kawasan nelayan pantai.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot-bot ini telah mencerobohi kawasan nelayan pantai manakala mata pukat yang digunakan juga bersaiz kurang 38 milimeter (mm).

“Selain itu, pemilik bot terbabit didapati tidak mengusahakan sendiri bot-bot itu dengan membenarkan pekerja asing bekerja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Nazri berkata, ketiga-tiga bot berkenaan dibawa ke jeti Pangkalan Kuala Kurau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kesemua nelayan berusia 20 hingga 45 tahun itu diambil keterangan untuk proses dokumentasi dan dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

Artikel Berkaitan: