Siti Mariah lega tidak dilantik ketua kawasan

Siti Mariah
Siti Mariah
A
A
A

PUCHONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud meluahkan kelegaan selepas tidak dipilih sebagai Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Puchong semasa pemilihan yang diadakan semalam.

Beliau yang juga Ketua Wanita Amanah Nasional sedia maklum dengan kemahuan ahli parti di Puchong yang mahukan orang tempatan mengetuai jawatankuasa kawasan.

Malah katanya, kemasukannya sebagai calon ADUN di Puchong pada pilihan raya umum (PRU) lalu turut ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar ahli Puchong.

"Ada pihak hendak saya mengetuai Puchong kerana saya ADUN, ada dana untuk melancarkan gerak kerja parti. Kalau boleh saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan di peringkat kawasan, tapi tidak boleh menolak pencalonan.

"Kalau menolak pun akan ditohmah tidak mahu menyumbang. Kepada ahli-ahli yg mahukan saya jadi ketua, saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan anda," kongsinya pada status di laman Facebook sebentar tadi.

Siti Mariah berkata, beliau bersyukur walaupun tidak dilantik sebagai ketua kawasan, namun diberi peluang untuk bersama membina Amanah Puchong sebagai ahli jawatankuasa kawasan.

"Keputusan ini tentulah mendapat komen yang pelbagai. Ada puak menganggapnya sebagai penghinaan kerana dikatakan (saya) tidak diterima ahli kawasan.

" Ya, maruah dan air muka mungkin tercalar sedikit. Cara orang politik fikir ni lain, malu bila kalah. Saya bersyukur tidak bertambah tanggungjawab lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor itu menambah, tiada ruang untuk beliau bersedih sebaliknya mahu fokus memperkukuhkan parti dan melaksanakan tugas sebagai ADUN dan Exco.

"Saya akan duduk dalam jawatankuasa baharu untuk membantu ketua dan AJK yang terpilih melaksanakan kewajipan mereka. Saya anggap diri saya sebagai kakak (dan ibu) kepada mereka kerana mempunyai lebih pengalaman di peringkat nasional dan negeri.

"Saya tiada apa-apa cita-cita peribadi di dunia ini lagi kerana ALLAH SWT telah memberi kurniaan yang tidak pernah saya jangka. Semua akan kita tinggalkan apabila tiba masanya.

"Kepada ahli Puchong, ALLAH SWT beri peluang kita memang kerusi DUN, sekarang masa bekerja dan bersatu.

"Lupakan cerita lama. Semoga Amanah Puchong padu. Bekerjalah dengan ikhlas supaya ALLAH SWT menerima semua kerja kita sebagai ibadah. Kita pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan nanti di Mahsyar," katanya.

Pada pemilihan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya Seksyen 14 Puchong, Mohd Fauzi Jaafar diangkat sebagai ketua kawasan, sementara Mohd Zaidi Ali menang sebagai timbalan.

Siti Mariah ialah bekas anggota Parlimen Kota Raja yang bertanding di DUN Seri Serdang pada PRU tahun lalu.

Pemilihan semalam menyaksikan Siti Mariah berada dalam senarai top 15 sebagai AJK kawasan, namun tidak mendapat tempat dalam kelompok top 4 selepas berada di kedudukan ke-11.