Cedera dilibas parang ketika bermain PUBG

Mohd Ismail
Mohd Ismail
A
A
A

KODIANG - Seorang lelaki cedera di betis kanan selepas dilibas dengan parang oleh rakannya di Kampung Telaga Batu, Mukim Putat di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan sedang bermain permainan video PUBG bersama beberapa rakannya di hadapan rumah suspek.

Bagaimanapun katanya, berlaku pertengkaran antara mereka apabila suspek yang juga berusia 21 tahun datang kepada mangsa dan mendakwa mangsa pernah menuduhnya mengajar anak saudara mangsa menghisap rokok.

"Mangsa menafikan tuduhan itu menyebabkan suspek berang lalu masuk ke dalam rumahnya lalu mengambil parang dan menyerang mangsa.

"Mangsa cuba mengelak ke belakang, namun mengalami kecederaan di bahagian betis kanan akibat terkena parang dilibas suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, mangsa kemudian melarikan diri dan membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.

"Hasil laporan berkenaan, suspek ditahan pada jam 12.30 tengah malam tadi di sebuah rumah di Kampung Putat dan direman sehingga Khamis ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan: