[DIKEMASKINI] Malakat Mall himpun, pasar produk Bumiputera

Pelan Raudhah City berkonsep bandar moden Islam Pertama di Malaysia.
Pelan Raudhah City berkonsep bandar moden Islam Pertama di Malaysia.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMASKINI] Sebuah pusat beli-belah dengan jenama Malakat Mall yang akan memasarkan produk Bumiputera akan dibuka berhampiran Raudhah City di Cyberjaya.

Pengasas syarikat pemaju, Raudhah City Sdn Bhd, Mohd Fadzil Hashim berkata, idea untuk membuka Malakat Mall bertujuan meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam pasaran runcit.

Menurutnya, kajian menunjukkan sektor peruncitan Bumiputera masih tidak berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran.

“Bila kami analisis data, ia menunjukkan sebab kita tak boleh pergi jauh adalah kerana kita tiada akses kepada pasaran.

“Kita tiada pusat beli-belah. Jadi, antara rancangan strategik kami adalah untuk mempunyai pusat beli-belah,” katanya dipetik portal The Malaysian Insight semalam.

Mohd Fadzil berkata, isu sebenar melibatkan peniaga Bumiputera bukanlah persaingan dengan usahawan kaum lain tetapi mengenai perkembangan usahawan Bumiputera itu sendiri.

“Sebab itu selepas 62 tahun merdeka, komuniti Bumiputera masih ketinggalan dalam sektor ekonomi.

“Mereka tidak ada dalam sektor peruncitan sedangkan siapa kawal sektor peruncitan dia akan kuasai ekonomi,” katanya yang turut mengusahakan sekolah tadika swasta popular Brainy Bunch.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurutnya, pusat beli-belah itu tidak ada kaitan dengan kempen mengutamakan produk Muslim dan Bumiputera yang hangat diperkatakan sekarang.

“Idea kita untuk tubuhkan Malakat Mall ini jauh lebih awal daripada kempen utamakan produk Melayu dan Islam yang berlaku hari ini,” katanya.

Selain itu, Fadzil turut mahu syarikat asing mengurangkan kepentingan dalam pasaran runcit untuk membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dalam sektor peruncitan.

“Sasaran kita adalah untuk membolehkan kehadiran perusahaan Bumiputera dalam industri peruncitan ini dirasai dengan mengurangkan pemilikan asing daripada terlibat dalam pasaran.

“Kita nak syarikat asing melabur dalam bidang strategik tetapi bukan datang ke negara kita menjual ayam dan beras, bukan melakukan perniagaan yang rakyat kita sendiri boleh buat,” katanya.

Beliau berhasrat menyediakan 20 peratus tempat di pusat membeli-belah itu kepada syarikat bukan Bumiputera atau syarikat asing.