Perkara ini sensitif sikit sebab saya anak kepada PM

Mukhriz Mahathir
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan perwakilan Kelantan yang mahu Tun Dr Mahathir Mohamad dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 perlu mengambil kira pandangan rakan komponen PH yang lain.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu perlu bagi memastikan satu keputusan kolektif dibuat sesama rakan gabungan kerajaan itu, tanpa mengenepikan mana-mana rakan PH yang lain.

"Perkara ini sensitif sikit sebab saya anak kepada Perdana Menteri, terpulang,...ada macam-macam cadangan yang telah dikemukakan pelbagai pihak dan Tun Mahathir sendiri pun pernah nyatakan bahawa ini bergantung kepada pandangan rakan-rakan dalam PH, pendirian daripada rakyat sendiri jadi apa juga komen-komen seperti itu saya kira perlu diambil kira sebelum sebuah keputusan dicapai.

"Jadi saya ingat perbincangan seperti itu tentunya akan dibuat di peringkat majlis Presiden PH," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, di sini hari.

Terdahulu, Ketua Bahagian Bersatu Bachok, Zulkifli Zakaria mengusulkan agar Mahathir meneruskan perkhidmatannya sehingga PRU15.

Mengakui secara peribadi menyenangi cadangan tersebut, Mukhriz menegaskan bahawa buat masa ini biarlah Dr Mahathir melakukan apa yang patut beliau laksanakan.

"Memanglah rasa ia satu cadangan yang baik kerana sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini kita mewarisi satu kerajaan yang teruk, nak memulihkan bukan satu perkara yang mudah.

"Jadi seelok-eloknya biarlah Tun Mahathir diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk memperbetulkan keadaan itu sebelum beliau menyerahkan kepada penggantinya," katanya lagi.

Sementara itu ketika ditanya sama ada cadangan itu berlawanan dengan janji Tun Mahathir sebelum ini yang mahu melepaskan jawatan untuk diberikan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri, Mukhriz berkata Dr Mahathir pasti akan menunaikan janjinya.

"Setakat apa yang saya tahu ianya tidak kontradik kerana kita masih merancang untuk Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Jadi saya rasa apa yang penting adalah kita mahu pastikan semua apa yang Kerajaan perlu selesaikan dahulu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia