Kerjasama Umno, Pas demi Islam dan Melayu

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umno tidak pernah mempunyai hubungan kerjasama secara formal dengan Pas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama antara Umno dengan Pas hanyalah dalam perkara-perkara yang berkaitan sahaja.

Ia melibatkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan isu yang mempunyai kesan negatif terhadap negara.

"Ini bukan penggabungan. Ia sekadar lambang kematangan dalam politik.

"Umno mempamerkan keupayaannya untuk melihat isu dengan lensa lebih besar berbanding hanya berpolitik dalam semua perkara," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Umno adalah pentadbir yang terbukti dan berjasa kerana sepanjang kewujudannya, parti itu membuahkan pelbagai kebaikan kepada bangsa Melayu dan juga Malaysia.

"Jutaan kelas menengah Melayu telah wujud melalui keringat Umno. Malaysia yang moden dan progresif ini dibidani kelahirannya oleh Umno.

"Semua pemimpin Bersatu, pernah memimpin Umno di pelbagai peringkat. Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) sendiri pun, tidak akan sampai ke tahap ini jika bukan melalui Umno,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Umno mengakui ada beberapa pemimpinnya sedang melalui proses undang-undang.

“Menghukum Umno hanya kerana ini bukan sahaja tidak adil malah tidak matang dan tidak wajar.

"Adalah lebih elok untuk Umno mendahulukan kerjasama strategik bersama Pas dalam hal-hal tertentu, daripada menjadi sahabat kepada DAP seperti Bersatu," katanya.

Beliau berkata, ketika Muhyiddin memperlekeh kerjasama Pas dengan Umno, beliau sangat sedar dan akur, betapa sukarnya untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Bersatu bukan sahaja dilihat oleh parti-parti lain sebagai pemain kerdil yang hanya menunggu masa untuk lenyap, malah, agenda Melayu dan Islam adalah perkara yang mereka rasakan mesti ditentang.

"Saya akui, kerjasama Umno dan Pas, bukan sahaja tidak formal, bukan juga formula politik yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya, kerjasama ini dapat membawa suara keresahan orang Melayu yang sudah lama terpendam sepanjang tempoh pentadbiran Malaysia baharu ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bukan sahaja keresahan ini semakin mendalam dan melebar, tetapi lebih malang Bersatu dengan liciknya berhasrat mengukuhkan kedudukan dengan cara paling tidak bermoral iaitu meraih dan merai lompatan ahli Parlimen dan ahli Umno untuk memperkuatkannya.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, ia adalah strategi yang akan membinasakan Bersatu sendiri kerana pihaknya amat arif siapa mereka yang melompat-lompat ini.

"Sedarlah, jalan parti ini masih jauh. Pemimpin berpengalamannya semakin dimamah usia dan sibuk bergelut dengan bekas seteru politik mereka yang kini terpaksa duduk semeja dan senyum bersama.

"Pemimpin mudanya pula tidak berhaluan dan saban hari menimbulkan rasa mual orang Melayu acapkali bersuara.

"Paling penting, akar umbinya masih tidak merasai apa signifikannya parti itu dalam kehidupan mereka,” katanya.

Jelasnya, Bersatu belum membuktikan apa-apa kepada orang Melayu dan Malaysia, selain menumpang tuah PH dalam menumbangkan BN yang kini semakin lapuk untuk menjadi modal jajaan seluruh kampung.

"Sesungguhnya, parti anda akan diuji keras atas apa yang anda kata dan laung-laungkan. Semoga Tuhan memberi kekuatan," katanya.