Konsert Exists Reunion diteruskan: Penganjur

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konsert Exists Reunion di Malaysia dan Singapura akan diteruskan walaupun salah seorang bekas vokalisnya ditahan polis semalam.

Jurucakap penganjur, Shiraz Projects dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini berhubung kejadian itu.

"Kami menerima banyak mesej dan panggilan bertanyakan status konsert yang sudah dirancang itu. Paling banyak yang bertanya adalah peminat-peminat Exists Reunion yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan.

"Kami memahami sentimen yang sedang bermain di fikiran peminat-peminat Exists Reunion. Namun sehingga ke saat ini, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," katanya.

Menurut beliau, penganjur akan bertemu dan berbincang dengan anggota Exists yang lain bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung kes itu.

“Sememangnya kami di Exists Reunion mahukan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini satu ujian awal untuk kami dan berharap peminat akan terus mendoakan yang terbaik untuk Exists Reunion," katanya.

Semalam, vokalis tersebut ditahan polis di Taman Perling, Johor.

Penahanan itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, penyanyi itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menemui serbuk putih dipercayai syabu seberat kira-kira 0.42 gram yang disimpan di dalam dompetnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad mengesahkan penahanannya.

Konsert Exists Reunion dijadualkan berlangsung di Shah Alam pada 28 September ini dan 5 Oktober di Singapura.