Pahang bina 7,088 unit Rumah Makmur

Wan Rosdy (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian projek Rumah Makmur Tanjung Gahai bersama Ramli (kiri) hari ini.
Wan Rosdy (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian projek Rumah Makmur Tanjung Gahai bersama Ramli (kiri) hari ini.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan Pahang telah meluluskan pembinaan 7,088 unit Rumah Makmur menerusi 21 projek yang dilaksanakan di tujuh daerah di negeri ini sehingga 31 Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 4,090 unit rumah dibina di Kuantan; Temerloh (882); Bera (724); Maran (623); Jerantut (460); Lipis (215) dan Rompin sebanyak 94 unit.

Menurutnya, beberapa daerah lain iaitu Bentong, Cameron Highlands, Pekan dan Raub pula masih dalam proses untuk menyediakan projek perumahan tersebut.

"Permintaan untuk projek-projek Rumah Makmur ini adalah tinggi kerana harganya yang kompetitif serta mampu milik.

"Kerajaan negeri memperkenalkan projek ini kerana menyedari keperluan selain mengambil berat kebajikan rakyat di Pahang.

Wan Rosdy (tiga dari kanan) melihat model rumah projek tersebut.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) melihat model rumah projek tersebut.

"Bagi daerah-daerah lain yang masih belum ada projek ini, saya berharap penduduknya dapat bersabar yang lambat-laun projek Rumah Makmur ini akan turut diadakan di sana nanti," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena pelancaran Projek Rumah Makmur Gahai Jaya, Mukim Ulu Jelai di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi projek di Gahai Jaya, sebanyak 90 unit akan dibina dengan keluasan kira-kira 2.5 hektar membabitkan tiga fasa di bawah tiga pemaju yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021 yang menawarkan harga RM80,000 seunit.

Projek Rumah Makmur adalah lanjutan kepada usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu milik di bawah PR1MA Pahang.

Dalam pada itu, dalam majlis sama turut diadakan penyerahan suratan hakmilik Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Medang kepada enam penerima dan penyampaian notis 5A Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Baru Persatuan Belia Tunas Harapan Kampung Tanjung Gahai membabitkan 28 penerima.