Nelayan lemas jatuh laut

Mayat nelayan warga Thailand dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. FOTO: Ihsan JBPM PERAK
Mayat nelayan warga Thailand dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. FOTO: Ihsan JBPM PERAK
A
A
A

SERI MANJUNG - Seorang nelayan warga Thailand ditemukan lemas selepas terjatuh dari pelantar ikan di Jalan Pelantar Ikan, Pantai Remis di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Sathaphon Phimla, 24, disedari hilang oleh majikannya semalam dan hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa telah terjatuh ke dalam laut.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diketuai PDRM dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Marin Kampung Acheh dijalankan sejurus menerima maklumat itu pada jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan mendapati mangsa terjatuh ketika melepaskan tali bot dari pelantar tanpa disedari oleh sesiapa.

“Operasi dimulakan dengan melakukan pencarian permukaan sahaja berikutan keadaan laut yang bergelora akibat air pasang.

“Pada jam 9 pagi, anggota bomba berjaya menjumpai mangsa yang terapung kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba berjaya menemui mayat mangsa terapung 200 meter dari pelantar ikan di Pantai Remis hari ini. FOTO: Ihsan JBPM PERAK
Anggota bomba berjaya menemui mayat mangsa terapung 200 meter dari pelantar ikan di Pantai Remis hari ini. FOTO: Ihsan JBPM PERAK