Bekas vokalis popular 90-an ditahan miliki syabu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAKSKINI] Seorang penyanyi yang juga bekas vokalis kumpulan popular tahun 90-an ditahan kerana memiliki sejumlah dadah, malam tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bersama seorang lagi rakan lelakinya di Taman Perling di sini kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, kedua-dua suspek itu ditahan selepas pemeriksaan dilakukan peronda polis di kawasan berkenaan ketika sedang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC.

Sejumlah dadah jenis syabu bersama suspek juga difahamkan ditemui berada dalam dompet penyanyi yang pernah dinobatkan tempat ketiga dalam satu pertandingan realiti televisyen, empat tahun lalu.

Penyanyi itu juga baru menjayakan konsert reunion bersama ahli kumpulannya, selain konsert seterusnya akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dan Singapura, Oktober ini.

Difahamkan, hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek juga positif dadah jenis syabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Artikel Berkaitan: