Ketua Hakim Negara dahului senarai penerima darjah kebesaran

Tengku Maimun dan Zulkifli
Tengku Maimun dan Zulkifli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lalu menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini.

Tengku Maimun yang juga anak jati Kota Bharu, Kelantan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Turut menerima Darjah PMN ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Ismail, 58, dilantik sebagai KSN pada 29 Ogos lalu adalah Lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom dan sudah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Zulkifli, 60, pula dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Jun 2018 dan pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

Artikel Berkaitan:

Selain tiga tokoh tersebut, istiadat pengurniaan hari pertama hari ini turut menyaksikan 15 individu lain menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah.

Turut menerima, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Badariah Arshad; Panglima Tentera Darat Jeneral, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany. - Bernama