Kurang kesedaran sebab orang asli tak dapat pendidikan sempurna

Gambar hiasan - Foto GPS Bestari
Gambar hiasan - Foto GPS Bestari
A
A
A
ALOR GAJAH - Kurangnya kesedaran dan kedudukan sosio ekonomi yang tidak kukuh menjadi faktor yang mengekang anak masyarakat orang asli di negara ini mendapat pendidikan yang sempurna, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Prof Dr Juli Edo.

Beliau berkata, secara dasarnya tahap kesedaran kepentingan pendidikan dalam kalangan orang asli meningkat daripada semasa ke semasa, bagaimanapun tahap kesedaran itu dilihat masih rendah bagi memastikan anak orang asli memperoleh pendidikan demi kelangsungan hidup mereka.

Justeru, katanya masyarakat orang asli di negara ini khususnya dalam kalangan ibu bapa perlu menekankan aspek pendidikan dengan memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna bagi merubah taraf hidup dan sosio ekonomi mereka.

"Kebanyakan ibu bapa masyarakat orang asli ini masih bergelut mencari nafkah untuk kelangsungan hidup keluarga sehingga aspek pendidikan anak terabai.

"Usaha memastikan lebih ramai anak masyarakat orang asli mendapat pendidikan sempurna bukan hanya terletak pada kerajaan sahaja tetapi ia merupakan usaha pelbagai pihak seperti ibu bapa, Tok Batin dan Majlis Pengurusan Kampung Orang Asli (MPKKOA)," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Juli berkata Tok Batin dan MPKKOA di setiap perkampungan orang asli perlu bergiat lebih aktif dalam usaha meningkat kesedaran masyarakat kaum itu terhadap aspek pendidikan terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, barisan kepimpinan kampung itu perlu melakukan lawatan dari rumah ke rumah untuk memastikan anak orang asli di kawasan mereka mendapat peluang pendidikan yang disediakan kerajaan dan mendengar serta menyelesaikan masalah sekiranya terdapat kekangan untuk mereka ke sekolah.

Sementara itu, Juli berkata, masyarakat pribumi itu juga disaran berusaha membangunkan diri mereka dan mengurangkan kebergantungan pada mana-mana pihak khususnya kerajaan.

"Saya fikir sikap berdikari itu mampu mengeluarkan masyarakat orang asli daripada status miskin kepada sederhana sekiranya mereka memanfaatkan peluang dan ruang yang ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tokoh Belia Orang Asli Negeri Melaka, Haznizam Jasdi, 24, dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Simoang Bekoh, Jasin dekat sini turut mengakui kepentingan pendidikan dalam mengubah struktur sosio dan ekonomi keluarga selain perlu berusaha untuk berubah.

Pemegang Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah daripada Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak itu berkata, menerusi pendidikan kehidupan turut akan menjadi lebih baik dan teratur.

"Saya kini mengambil alih perusahaan kontraktor binaan yang dibangunkan ayah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai penoreh getah dan pada masa sama saya turut mengusahakan kebun pisang dan penternakan lembu serta kambing di kampung," kata anak pasangan Jasdi Ah Kin, 50, dan Rosni Bah Anding, 47.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata perniagaan yang diusahakan itu secara tidak langsung dapat memberi lebih 10 peluang pekerjaan kepada penduduk kampung itu yang tidak dapat bekerja di luar kerana tiada kelulusan yang sesuai untuk bekerja disebabkan tidak bersekolah.

Beliau berkata masyarakat orang asli perlu bersikap lebih terbuka terhadap isu pendidikan dan menjadikan pemimpin negara daripada kaum mereka sebagai idola untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. - Bernama