Empat pemancing dikhuatiri hilang

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sekumpulan empat pemancing dari Kampung Goebilt di sini dilaporkan tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri hilang setelah keluar memancing sejak pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan dalam satu kenyataan berkata, aduan telah dibuat Fadilawati Karim menyatakan bahawa empat orang ahli keluarga beliau, telah keluar memancing dan sepatutnya pulang pada pagi ini.

“Menerusi maklumat yang diterima dari pengadu, mereka sering melakukan aktiviti memancing dan memukat di sekitar kawasan berhampiran Pulau Lakei, Kuching.

“Empat pemancing itu ialah Manja Yusop, 47, Hadip Adam, 36, Azuan Zazul, 26, dan Fatiha Ayuni Aini, 15,” katanya dan menambah pengadu telah membuat laporan polis, pada 9.51 malam ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dikatakan menaiki sebuah bot kayu berbumbung, berwarna biru-putih dan berenjin pam 7 kuasa kuda.

“Pengadu juga memaklumkan bahawa terdapat beberapa orang kampung telah keluar bagi membantu mengesan mangsa yang hilang,” katanya.

Maritim Sarawak telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 10.40 malam ini dan menubuhkan Pengkalan Hadapan CARILAMAT(PHC) di jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS).

Maritim Sarawak memohon jika orang awam mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara ini agar menghubungi segera Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. - Bernama

Artikel Berkaitan: