Lupakan insiden 2018, fokus aksi Selasa: Cheng Hoe

Aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta. Malaysia menewaskan Indonesia 3-2. - Foto Bernama
Aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta. Malaysia menewaskan Indonesia 3-2. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu insiden kekecohan melibatkan skuad Bawah-23 tahun (B-23) negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu, mengganggu fokus pemain, menjelang aksi pada Selasa ini.

Malah, pengendali berusia 51 tahun itu mahu pemain-pemain skuad negara, yang turut dibarisi beberapa pemain yang terlibat dalam aksi tahun lalu, turun ke padang dengan yakin dan semangat juang yang tinggi, untuk mencatatkan kemenangan kedua buat skuad Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

“Saya selalu ingatkan pemain kita tak mahu ada apa-apa berlaku, bagi saya setiap pemain kena fokus pada bola sepak sahaja, tak boleh ada faktor luaran yang mengganggu fikiran dan fokus, kerana ia menjejaskan prestasi juga.

“Kita tak boleh anggap pemain mereka akan balas dendam atau kita perlu balas dendam. Tapi kalau fokus pada aksi kita, kita akan beri persembahan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada aksi persahabatan sebagai persiapan ke Sukan Asia 2018 di Stadium Shah Alam tahun lalu, skuad muda negara mendahului 2-0 menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Rashid pada minit ke-64, sebelum pemain kedua-dua pasukan bergaduh, berpunca daripada kekasaran daripada pemain UAE.

Cheng Hoe turut mengingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah perlawanan di Stadium Nasional Selasa ini, kerana kemenangan ke atas pasukan bawah umur berbeza dengan skuad kebangsaan, yang akan menampilkan pendekatan berbeza.

Ia berikutan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Dollah Salleh pernah diaibkan dengan kekalahan 10-0 dalam kempen kelayakan sebelum ini pada 2015, iaitu kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan negara.

Pengendali dari Kedah itu turut menjelaskan bahawa UAE berada dalam tahap yang lebih baik, berdasarkan ranking ke-65 dunia, selain mara sehingga ke pusingan separuh akhir Piala Asia 2019.

Artikel Berkaitan:

Cheng Hoe mengakui bahawa UAE mempunyai kelebihan, kerana mempunyai rehat pada Khamis lalu berbanding skuad negara yang terpaksa berjuang hingga ke minit terakhir, untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia.

“Mereka juga ada kelebihan kerana telah melihat kita beraksi dan sudah pasti sudah ada statistik mengenai pasukan kita, jadi kita kena memperbaiki kelemahan kita. Keputusan perlawanan sebelum ini hanya diambil sebagai motivasi, tetapi sudah pasti kita mendapat momentum perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Safawi yakin bahawa tidak mustahil untuk skuad Harimau Malaya untuk mengatasi gergasi timur tengah itu, sekiranya semua rakan sepasukannya beraksi dengan baik dan yakin.

“Saya percaya dengan rakan sepasukan saya dan taktikal jurulatih untuk memerangkap UAE, bagi mendapatkan keputusan positif. Kita juga harus lupakan perkara lepas dan fokus pada perlawanan kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Harimau Malaya menewaskan UAE adalah pada Pestabola Merdeka 1982, 2-1, dan satu lagi kemenangan 2-0 pada Piala Asia 1980. Selain daripada itu pasukan kebangsaan tewas, dalam sembilan pertemuan lain dan seri sekali. - Bernama