Gantung Stadium Gelora Bung Karno penyelesaian terbaik

Hamidin -Foto Bernama
Hamidin -Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat bahawa menggantung semua perlawanan antarabangsa di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta akan menjadi hukuman terbaik kepada segelintir penyokong Indonesia yang mencetuskan kekecohan di stadium itu.

Beliau berkata ini merupakan jalan penyelesaian terakhir daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika penyokong terus menimbulkan masalah di sesuatu venue, selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Indonesia dan Malaysia pada Khamis lalu, dicemari insiden kekecohan penyokong tuan rumah.

Beliau turut mengesahkan bahawa laporan mengenai kekecohan itu akan dihantar ke FIFA pada Selasa ini, disertakan dengan salinan ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tindakan selanjutnya.

Hamidin berkata pertemuan di antara Indonesia dan Malaysia kerap kali menjadi kecoh kerana ‘sentimen’ dan kekecohan jarang berlaku apabila pasukan lain beraksi di GBK.

“Kita faham bahawa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan pihak berkuasa Indonesia telah juga berusaha dengan keras untuk elak perkara ini, tetapi kita tahu penyokong mereka ramai, maka terjadi juga. FAM juga telah membuat perkara yang sewajarnya untuk mengelakkan insiden seperti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lupakan kemenangan ke atas Indonesia, fokus UAE'

“Apa yang terjadi ini di luar prosedur yang dibenarkan oleh FIFA. Pertamanya penyokong masuk ke dalam padang, nyanyian yang tak baik terhadap pemain dan penyokong kita, pemain terpaksa naik (kereta perisai) barracuda dan perlawanan terpaksa dihentikan beberapa minit.

“Ini semua elemen-elemen yang tersalah, tapi kita serah pada FIFA untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis lalu, tiga penyokong Malaysia cedera berikutan tindakan segelintir penyokong Indonesia yang menyerang dan membaling batu ke arah mereka, manakala pemain terpaksa balik ke hotel penginapan menaiki barracuda angkara penyokong yang tidak puas dengan kemenangan Malaysia 3-2 terhadap Indonesia.

Hamidin berkata PSSI kini harus mencari kaedah yang terbaik untuk mendidik penyokong negara berkenaan bagi menjamin keselamatan pasukan pelawat.

Sementara itu, Hamidin yakin insiden sedemikian tidak akan berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila Malaysia bertemu pasukan-pasukan lain, dengan jaminan diberikan oleh pihak polis.

Malaysia bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional pada Selasa ini. - Bernama