MOF sedia bertindak jika bon samurai terbitan kali kedua diteruskan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan bersedia untuk bertindak sekiranya terbitan bon Samurai kali kedua diteruskan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata pihaknya menunggu arahan selanjutnya daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan beliau pada sidang media di Kyoto, Jepun pada Sabtu bahawa Malaysia mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Pada sidang media bersempena lawatan kerja ke negara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe bagi terbitan bon tersebut, bagaimanapun kini terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menerima arahan Perdana Menteri pada Jun lepas untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan setelah lawatan beliau ke Jepun pada akhir Mei, di mana Abe telah menawarkan bon Samurai siri kedua.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan untuk bersetuju secara prinsip dengan butiran lanjut untuk diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

"Setelah rundingan Menteri Kewangan dengan pihak kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan bon samurai tersebut, pihak JBIC telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun.

"Ini berbanding dengan 0.63 peratus oleh JBIC dengan tempoh matang 10 tahun, bagi pinjaman bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion yen pada Mac tahun ini," menurut kementerian itu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata Dr Mahathir mengambil kira pandangan pelbagai pihak walaupun kadar bon Samurai siri kedua yang ditawarkan kali ini adalah lebih rendah. - Bernama

Artikel Berkaitan: