Lan Solo bawa isteri dan anak-anak tunai umrah

Instagram Lan Solo
A
A

PENYANYI Lan Solo memohon orang ramai agar mendoakan perjalanannya ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah bersama isteri dan anak-anak dipermudahkan.

Menerusi laman Instagramnya hari ini, Lan atau nama lengkapnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 34, telah berkongsi fotonya sekeluarga yang sedang menanti penerbangan mereka untuk tujuan tersebut.

“Hari ni 8 September 2019, Ahad, kami sekeluarga akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

“Dengan rendah hati, saya mewakili isteri serta anak-anak memohon semua sama-sama berdoa agar perjalanan umrah kami mudah dan lancar,” ujar Lan.

Dalam perkongsian yang sama, Lan juga memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Sebagai manusia, kami tidak sempurna dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Dengan kesempatan ini, dapatlah andainya semua yang membaca ini memaafkan segala kekhilafan kami, dari segala segi.

“Terlanjur perbuatan, terlanjur tutur kata, terhina tanpa sengaja, tutur bicara yang menghiris hati sesiapa, terusik harta, terlebih kira, terdengar berita yang tidak sepatutnya.

“Mohon juga halalkan makan minum kami seikhlas hati serta segala yang keruh dapat dijernihkan dari hati ke hati.

“Seandainya perjalanan ini adalah perjalanan terakhir kami, dapatlah kiranya sejuta keburukan kami dapat dilenyapkan mungkin dengan hanya satu kebaikan yang pernah kami lakukan sekiranya ada,” tulisnya.

Lan mendirikan rumahtangga bersama isteri, Nur Shiela Hassim pada 6 Disember 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aman Qaleesya, 7; Nur Amna Qeesyara, 5; Muhammad Akid Qassyaff, 4; dan Nur Amna Quxandra, 1.