Tabung khas bina semula Perpustakaan Sungai Lembing

Fuziah (tengah) menyampaikan sumbangan mesra wakaf prihatin dan program foodbank Yapiem kepada salah seorang penerima sempena program Ziarah Kasih Rahmah 2019.
Fuziah (tengah) menyampaikan sumbangan mesra wakaf prihatin dan program foodbank Yapiem kepada salah seorang penerima sempena program Ziarah Kasih Rahmah 2019.
A
A
A

KUANTAN - Satu tabung khas untuk membina semula Perpustakaan Sungai Lembing yang turut musnah dalam kebakaran besar pada 31 Ogos lalu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Usaha tersebut akan digerakkan di bawah Yayasan Wakaf Malaysia bertujuan mengumpul semula lembaran sejarah yang tinggal dan membina semula perpustakaan supaya khazanah berharga tidak lenyap begitu sahaja.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, perpustakaan tersebut menyimpan banyak sejarah Sungai Lembing sebagai tapak bekas lombong bijih timah terbesar di dunia.

Menurutnya, apabila ia terbakar segala lembaran sejarah turut musnah.

"Apabila perpustakaan ini musnah ia bukan sahaja satu kerugian kepada negeri Pahang tetapi warisan negara.

"Kita akan kutip, kumpul dan cari semula maklumat dan apa sahaja berkaitan sejarah di sini untuk dibangunkan menerusi perpustakaan itu nanti," katanya pada sidang media sempena program Ziarah Kasih Rahmah 2019 peringkat Zon timur di Padang Awam Sungai Lembing hari ini.

Beliau berkata, Yayasan Wakaf Malaysia dilantik sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

"Kita akan kutip semula bahan sejarah yang ada dan buat lajer khas untuk Sungai Lembing.

Artikel Berkaitan:

"Semua rakyat di seluruh negara dan syarikat-syarikat korporat dialu-alukan menyumbang," katanya.

Menurut Fuziah terdapat keistimewaan diberikan iaitu pengecualian cukai untuk mereka yang menyumbang iaitu tujuh peratus untuk individu dan 10 peratus bagi syarikat.

"Pihak syarikat juga boleh gunakan tanggungjawab kerja sosial korporat (CSR) untuk menyumbang," katanya.

Fuziah berkata, tabung berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada minggu hadapan.

"Sekarang kita tengah siapkan apa yang patut termasuk nombor akaun bank untuk menyumbang.

"Seluruh rakyat Malaysia boleh membantu membangunkan semula perpustakaan ini," katanya.