Budaya pembelajaran berterusan kunci Jepun kekal relevan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melihat buku 'Apa Habaq Orang Muda' edisi bahasa Jepun pada pelancaran buku tersebut, semalam. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melihat buku 'Apa Habaq Orang Muda' edisi bahasa Jepun pada pelancaran buku tersebut, semalam. -Foto Bernama
A
A
A

KYOTO - Di sebalik status negara maju dan menjadi antara peneraju teknologi dunia dalam pelbagai bidang khususnya pembuatan, teknologi maklumat dan pengkomputeran, Jepun sebenarnya masih berusaha memperbaiki kelemahannya supaya seiring dengan perkembangan mutakhir.

Walaupun ‘Negara Matahari Terbit’ ini terkenal dengan rakyatnya yang bersikap mementingkan disiplin, saling menghormati serta tekun bekerja, mereka dilihat mempunyai kesungguhan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Ketika mengikuti lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun baru-baru ini, penulis berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana negara ini menerapkan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan rakyatnya agar tidak ketinggalan daripada arus perkembangan semasa.

Antara perkara yang menarik minat penulis adalah kesungguhan rakyat negara ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris meskipun Jepun telah diperakui sebagai antara kuasa besar dalam bidang sains dan teknologi.

Usaha Jepun itu turut mendapat perhatian Dr Mahathir yang mengatakan negara semaju Jepun turut memperakui kepentingan menguasai bahasa Inggeris selari dengan keperluan semasa.

"Walaupun dikatakan Jepun sudah lama terlibat dalam sains dan teknologi tetapi mereka mendapati bahasa Inggeris masih diperlukan.

"Mereka akui untuk mempelajari sains yang baharu, mereka perlu menguasai bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita Malaysia pada sidang media di sini.

Ironinya, Malaysia juga pernah suatu ketika memperkenalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang media itu, Dr Mahathir menegaskan penguasaan bahasa Inggeris adalah cara terbaik untuk negara kekal kompetitif terutama dalam bidang sains dan matematik memandangkan kedua-duanya mengalami evolusi yang pantas.

"Sains dan matematik ini dia bertukar-tukar sepanjang masa kerana kajian yang dilakukan, sehingga perkara yang dahulu tidak pernah dijumpai telah dijumpai dan digunakan, kini umpamanya mikroelektrik, mikrocip, pendigitalan dan pelbagai perkataan baharu telah diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata meskipun bahasa Melayu boleh digunakan dalam bidang sains dan matematik, namun ia amat terhad kerana kekurangan tenaga penterjemah yang mahir untuk menterjemahkan kertas-kertas kajian ke dalam bahasa Melayu.

"Kalau kita tak guna bahasa Inggeris dan guna bahasa Melayu, kita perlu ada orang yang faham bahasa Inggeris untuk menterjemah kepada bahasa Melayu, tetapi orang yang macam ini tak ramai, sedangkan setiap hari ada hasil kajian yang banyak.

"Kalau kita nak ‘up-to-date’ dan tidak ketinggalan, kita mesti kejar ilmu ini dan kita tak mungkin dapat orang yang boleh terjemah (kajian yang banyak ini) untuk kegunaan ramai penuntut,” katanya.

Dalam rangka lawatan ke Jepun ini juga, perdana menteri telah melawat pejabat dua syarikat Jepun yang mempunyai operasi di Malaysia iaitu Towa Corporation dan Shimadzu Corporation di samping menerima penerangan mengenai keupayaan dan operasi syarikat daripada pengurusan tertinggi masing-masing.

Beliau yang tiba pada Khamis turut meluangkan masa melawat Sekolah Rendah Ritsumeikan dan menyaksikan sendiri keunikan sekolah berkenaan yang menggabungkan kaedah tradisional dan teknologi moden dalam silibus pembelajaran mereka.

Perdana Menteri turut menyatakan minat untuk mengaplikasikan teknologi yang digunakan sekolah berkenaan di sekolah Malaysia seiring dengan rancangan kerajaan memperkenalkan kaedah pembelajaran secara rakaman di sekolah bagi mempermudahkan dan menambah baik kualiti pendidikan.

Bagi mengakhiri lawatan beliau pada Sabtu, Dr Mahathir menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 200 penuntut dan ekspatriat Malaysia dari Osaka dan Kyoto.

Ketika pertemuan dengan media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan beliau, perdana menteri menyifatkan lawatannya kali ini sebagai banyak memberi pengajaran meskipun sudah melawat Jepun hampir seratus kali termasuk lawatan bukan rasmi.

Ini jelas menunjukkan Dr Mahathir, yang juga pencetus Dasar Pandang Ke Timur, merasakan banyak perkara masih boleh dipelajari Malaysia dari Jepun meskipun dasar tersebut telah sekian lama diperkenalkan iaitu pada 1982.

Jika Malaysia tidak mampu menyaingi kehebatan ekonomi, sains dan teknologi Jepun buat masa ini, keyakinan perlu dipahatkan bahawa rakyat Malaysia boleh menyaingi usaha rakyat Jepun untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri. Semoga suatu hari nanti, Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan negara kuasa ekonomi dunia ini. Sayonara! - Bernama