Bauksit di Bukit Goh bernilai RM2 bilion

Suhaimi (kanan) menyempurnakan acara simbolik perasmian Karnival Mega Merdeka Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) di Felda Bukit Goh hari ini.
Suhaimi (kanan) menyempurnakan acara simbolik perasmian Karnival Mega Merdeka Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) di Felda Bukit Goh hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Bauksit bernilai lebih RM2 bilion yang masih 'tersadai' di tanah rancangan Felda Bukit Goh mampu memberi pendapatan kepada kerajaan Pahang sehingga RM2 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Suhaimi Saad berkata, nilai itu sangat besar ditambah pula dengan situasi dan kedudukan negeri ini yang ditadbir kerajaan pembangkang dan perlu berdiri di atas pendapatan sendiri.

Menurutnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Pahang yang berjaya dimuktamadkan dan berkuat kuasa 5 September lalu adalah berita gembira buat penduduk yang juga pemilik tanah bauksit di sini.

"Kita harap tempoh moratorium dipercepatkan. Penduduk begitu berharap boleh berurus niaga semula. Walaupun harga jatuh, ia masih boleh diniagakan. Bahkan dari sudut pendapatan kerajaan negeri juga amat membantu. Di Bukit Goh sahaja ada lebih RM2 bilion bauksit dan difahamkan boleh beri pendapatan lebih RM2 juta kepada kerajaan negeri.

"Seperkara lagi saya harap kerajaan negeri dan agensi yang menguruskan perlombongan bauksit ini beri peluang kepada anak tempatan di kawasan ini khasnya dari segi pekerjaan dan peluang. SOP juga menetapkan bauksit kena basuh di kawasan perlombongan itu sendiri sebelum diangkut ke dalam lori untuk elak pencemaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Karnival Mega Merdeka Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) di Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Suhaimi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan karnival tersebut dan penubuhan Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Kuantan Pahang.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, menerusi SOP yang ditetapkan akan menjamin keuntungan kepada pemilik tanah bauksit dan penduduk.

Artikel Berkaitan:

SOP berkenaan dimuktamadkan pada sesi perjumpaan khas Menteri Besar Pahang bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.