PDRM rancang bawa pulang balu Muhamad Wanndy

Muhammad Wanndy (kanan) disahkan terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria pada Mei 2017. (Gambar kecil, Abdul Hamid)
Muhammad Wanndy (kanan) disahkan terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria pada Mei 2017. (Gambar kecil, Abdul Hamid)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan agensi perisikan asing untuk membawa pulang balu kepada Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, Nor Mahmudah Ahmad ke tanah air dari Syria.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM berdepan masalah dari segi untuk melepasi kawasan di Syria yang mana terdapat tiga kawalan iaitu kawalan kerajaan Syria, pakatan Amerika Syarikat serta militan Daesh.

"Kita hadapi masalah di situ. Tapi, pihak agensi perisikan asing sedang membantu kita untuk membawa mereka keluar.

"Kita mesti bawa mereka pulang kerana dia rakyat kita. Tindakan bila dia sampai ke sini (Malaysia) kita akan pertimbangkan apa bentuk tindakan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Tambah Abdul Hamid, tindakan ini bukan sahaja terhadap Nor Mahmudah, tapi kepada semua isteri yang dikatakan terlibat dengan 'pejuang-pejuang' itu.

"Bukan setakat kepada keluarga Wanndy sahaja, tapi semuanya yang mana kita dapat tahu mereka berada di bawah tahanan pihak tertentu," katanya.

Terdahulu, Muhammad Wanndy disahkan terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria pada Mei 2017.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan seramai 39 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka terdiri daripada 10 lelaki, 11 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.