PSP: Beri tender kepada pengusaha produk halal IKS

Anwar melawat reruai pameran di Halal Fest Jakim 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Anwar melawat reruai pameran di Halal Fest Jakim 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan mulai Januari depan mengutamakan pemberian tender kepada pengusaha produk halal industri kecil dan sederhana (IKS).

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus itu turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) menghidupkan semula 'konsep payung' yang pernah diperkenalkan sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum ini.

"Sekarang kita ada cadangan yang baik daripada KPM hendak beri makan kepada anak-anak sekolah. Kita boleh lakukan ini melalui tender dan kontrak besar kepada syarikat besar.

"Atau kita boleh lakukan melalui tender dengan syarat mesti diambil makanan halal, bermutu dan bersih dari semua daerah. Kalau dibuat di Kuching, cari orang di sekitar Kuching, makanan yang bersih, berkualiti dan sihat.

"Kalau ini dilakukan, maka dengan sendirinya kita ada projek yang belanjanya mungkin ratusan juta setahun, tetapi akan mendapat serpihan faedah itu beribu orang di setiap daerah," katanya pada sesi dialog khas Pemberdayaan Ekonomi Umat @Halfest Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) hari ini.

Anwar pada sesi dialog Pemberdayaan Ekonomi Umat sempena Halal Fest Jakim di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Anwar pada sesi dialog Pemberdayaan Ekonomi Umat sempena Halal Fest Jakim di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

Ahli Parlimen Port Dickson itu mencadangkan konsep payung yang pernah diguna pakai sebelum ini dihidupkan semula untuk memberi manfaat kepada ribuan pengusaha produk halal.

"Semasa saya menjadi Menteri Kewangan, kita menggunakan konsep payung. Hendak buat kerusi meja untuk anak-anak sekolah kita boleh beri kontrak kepada syarikat besar.

Artikel Berkaitan:

"Kalau masuk tender dia menang tetapi kita buat syarat. Umpamanya kita pergi kepada Guthrie, melalui konsep payung Guthrie cari 60 syarikat kecil ini yang boleh buat mengikut spesifikasi. Mesti kualiti kayu, pembuatan yang penuhi syarat ini, akan diberikan.

"Pihak yang akan pantau bukan jabatan kerajaan tetapi syarikat yang diberi kontrak. Maknanya daripada satu syarikat, kita bagi juga kepada 60 syarikat kecil dan sederhana yang juga majoritinya kebetulan bumiputera untuk membantu, ini hal-hal yang kita lakukan," katanya.

Anwar melawat reruai pameran di Halal Fest Jakim 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Anwar melawat reruai pameran di Halal Fest Jakim 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

Beliau berkata, perubahan itu mampu mengangkat darjat umat Islam bagi mengurangkan jurang antara Melayu kaya dan Melayu miskin.

Pada Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, KPM akan memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah pada tahun depan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.

Katanya, langkah itu dibuat kerana di sebalik makanan percuma itu, proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.