UMP bakal miliki pakar pembuatan kenderaan sukan permotoran

Rosli dan Fahrizal bersama kenderaan lumba Toyota 86 yang diserahkan kepada UMP sempena majlis menandatangani MoU di UMP Pekan baru-baru ini.
Rosli dan Fahrizal bersama kenderaan lumba Toyota 86 yang diserahkan kepada UMP sempena majlis menandatangani MoU di UMP Pekan baru-baru ini.
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal muncul sebagai institusi pengajian tinggi pertama di negara ini memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan sukan permotoran Formula Comet hasil kerjasama dengan Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd (Haro Sports).

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata, usaha tersebut membabitkan penyelidikan dan pemindahan teknologi permotoran serta perlumbaan kepada penuntut dan staf universiti itu.

Menurutnya, kerjasama itu juga membuka peluang kepada penuntut UMP menceburkan diri dan meningkatkan kemahiran dalam pembangunan dan penyelidikan kenderaan sukan permotoran Formula Comet serta pengurusan program dan acara perlumbaan.

“Ia selaras dengan agenda memasyarakatkan teknologi universiti ini dan menggalakkan kerjasama dua hala dengan pihak industri bagi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Haro Sport di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Kampus Pekan di sini kelmarin.

UMP diwakili beliau dan Dekan Inovasi Industri, Prof Madya Dr Abdul Adam Abdullah manakala Haro Sports diwakili Pengarah Urusannya, Fahrizal Hasan dan Pengurus Besar, Mohamad Yamin Ahmad Shafie.

Rosli berkata, UMP berbangga dengan inisiatif Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dalam kalaborasi dengan Haro Sports bagi meningkatkan pertukaran teknologi dalam bidang pembuatan kenderaan sukan permotoran.

“Sukan bermotor perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang melibatkan pembangunannya sebagai satu industri.

Artikel Berkaitan:

“Pembangunan bukan hanya untuk kenderaan, pemandu atau penunggang tetapi juga individu yang terlibat di belakang tabir. Mereka inilah ‘unsung hero’ yang menjadi tulang belakang pasukan,” katanya.

Sementara itu, Fahrizal berkata, Formula Comet dilihat berpotensi besar untuk berjaya memandangkan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi bagi membangunkan satu peringkat sukan permotoran.

Menurutnya, ia berpotensi dalam mengembangkan pasaran terhadap kejohanan sukan permotoran Formula Comet yang dikenal pasti mampu berkembang lebih meluas dengan sasaran kepada negara di rantau Asia Tenggara, Pasifik dan Asia Timur.

“Hasil daripada usaha ini seterusnya dapat menyediakan peluang kerjaya dan latihan industri dalam bidang permotoran dan perlumbaan secara global yang menjamin pendapatan yang tinggi kepada bakal graduan UMP, seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan melahirkan graduan yang berkualiti.

"Selain itu, kerjasama ini juga membuka jaringan prospek yang lebih luas terutamanya dengan rakan-rakan antarabangsa yang berkredibiliti lagi berpotensi,” katanya

Pada majlis itu turut menyaksikan penyerahan kenderaan lumba Toyota 86 oleh Haro Sports kepada pihak UMP.