UMNO Sungai Besar mahu hantar memorandum kepada Sultan

Jamal Md Yunos
Jamal Md Yunos
A
A
A

SUNGAI BESAR - UMNO Bahagian Sungai Besar bercadang menghantar memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kegagalan kerajaan negeri memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa ribut di Parlimen itu.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, memorandum itu dijadualkan diserahkan kepada baginda pada minggu hadapan.

Menurutnya, terdapat lebih 80 rumah penduduk rosak teruk akibat bencana ribut pada 10 Ogos lalu, namun sehingga kini masih belum dibaik pulih.

"Memorandum ini merupakan keluhan daripada rakyat kerana kita tahu kerajaan negeri gagal memberi bantuan, selain UMNO juga tidak mampu membantu keseluruhan rumah terlibat dan kita berharap campur tangan Sultan dapat menyelesaikan perkara ini," katanya.

Malah, Jamal berkata, pihaknya turut berharap agar Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke beberapa rumah penduduk yang mengalami kerosakan di Parlimen berkenaan.

"Saya sendiri menziarahi beberapa rumah penduduk yang rosak pada minggu lalu dan mereka ini masih belum dapat apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri," katanya.

Menurutnya, beliau amat terkilan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal membantu mangsa ribut terutama rumah penduduk yang mengalami kemusnahan teruk.

"Setelah hampir sebulan masih ada rumah penduduk tidak berbumbung, bila hujan dan panas mereka tiada tempat berteduh," katanya.

Artikel Berkaitan: