Jangan ada 'double standard' caj parkir MDKS

Noh menziarahi seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih Parlimen Tanjong Karang di sini semalam.
Noh menziarahi seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih Parlimen Tanjong Karang di sini semalam.
A
A
A

TANJONG KARANG - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diminta memberi penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan beberapa kawasan di daerah itu dikecualikan daripada perlaksanaan caj parkir berbayar yang mula dilaksanakan sejak 3 September lalu.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau hairan mengapa tempat tertentu seperti di Pasir Penambang tidak dikenakan caj parkir terbabit.

"Kita tidak mahu dari segi perlaksanaan (caj parkir kereta) ini ada 'double standard' (sikap berpihak) di kawasan tertentu sahaja sedangkan kawasan lain tidak dikuatkuasakan larangan tersebut," katanya.

Terdahulu Noh menziarahi beberapa rumah penduduk yang uzur pada Program Ziarah Kasih di sini semalam.

Noh menegaskan, perlaksanaan caj parkir tidak sewajarnya dikenakan kepada penduduk luar bandar yang majoriti mereka berpendapatan rendah.

"Misalnya penduduk luar bandar, kalau mereka singgah beli barang dan minum di kedai makan bukanlah tinggalkan kenderaan mereka terlalu lama seperti di bandar yang meletak kenderaan mereka dalam tempoh masa lama untuk menaiki kenderaan awam lain," katanya.

Beliau berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk beliau sendiri tidak pernah bersetuju dengan perlaksanaan caj parkir yang ingin dikuatkuasakan sejak tahun 2000.

"Sejak dari dulu lagi memang ada usaha mengenakan caj parkir khususnya di daerah Kuala Selangor termasuk di Parlimen Tanjong Karang, tetapi pada masa itu pemimpin kita tidak bersetuju kerana perlaksanaan ini hanya menyusahkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi hari ini wakil rakyat PH (Pakatan Harapan) tidak membela nasib rakyat secara keseluruhan dan membiarkan perlaksanaan caj parkir tersebut dilaksanakan," katanya.