X

Kindly register in order to view this article
!

Ikan mati di Pantai Lido: Saran rawatan air segera

Zamani Omar
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perikanan negeri mencadangkan kaedah pertukaran dan rawatan air dilakukan bagi mengatasi masalah ammonia sebagai langkah pemulihan segera berhubung kes kematian ikan di Pantai Lido.

Pengarahnya, Zamani Omar berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan menukar air kolam yang mana air bertakung perlu dirawat sebelum dilepaskan ke perairan umum.

Menurutnya, laluan pengairan yang lebih cekap juga perlu dibina bagi memastikan air dapat mengalir keluar masuk mengikut keadaan pasang surut air laut.

"Ini bagi memastikan supaya sisa domestik tidak berkumpul setempat sehingga menjejaskan kualiti air bagi hidupan akuatik.

"Difahamkan setakat ini hanya satu laluan yang dibina bagi tujuan tersebut berbanding keluasan keseluruhan kawasan yang luas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zamani berkata, berdasarkan laporan analisis kualiti air yang dihantar pada 28 Ogos lepas, kandungan ammonia dan fosfat di situ adalah tinggi.

"Ia dipercayai berpunca daripada proses pereputan bangkai ikan.

"Keadaan adalah lebih buruk sekiranya saluran air buangan sisa domestik juga mengalir masuk ke kawasan takungan tersebut dan mengancam hidupan akuatik lain," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penemuan lambakan ikan mati di sekitar perairan Pantai Lido di sini, baru-baru ini disahkan tiada kena-mengena dengan sebarang pembuangan sisa (efluen) dari sumber industri atau kumbahan.

Perkara itu turut disahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bahawa perairan berkenaan bebas daripada sebarang efluen.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, sebaliknya kejadian yang berlaku itu adalah kesan daripada perubahan ekosistem di perairan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ribuan ikan mati akibat kurang oksigen


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!