Pahang cadang tukar nama Taman Negeri Endau Rompin

Mohd Sharkar ketika mengadakan lawatan kerja ke Taman Negeri Endau Rompin semalam.
Mohd Sharkar ketika mengadakan lawatan kerja ke Taman Negeri Endau Rompin semalam.
A
A
A

ROMPIN - Kerajaan Pahang bercadang menukar nama Taman Negeri Endau Rompin di sini kepada satu nama yang lebih sesuai bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelancong.

Memetik laporan Facebook Kerajaan Negeri Pahang semalam, Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya menerima cadangan mengenai perkara itu berikutan ramai pelancong terkeliru dengan Taman Negara Endau-Rompin di Johor.

Menurutnya, beliau sudah meminta Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Datuk Fadzilla Salleh mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan itu untuk dibawa ke Mesyuarat Exco bagi tujuan kelulusan.

Terdahulu semalam, Mohd Sharkar mengadakan lawatan kerja ke Taman Negeri Endau Rompin dan turut mendengar taklimat mengenai pembangunan taman negeri tersebut daripada Pengurus Besar Pelaksanaan Projek Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali; ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar berkata, beliau yakin dengan projek pembangunan pelancongan di Taman Negeri Endau Rompin mampu menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu produk pelancongan terbaik di Pahang.

"Pelbagai kemudahan sudah siap dibina di pusat pelancongan ini. Penyerahan projek ini kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) oleh pihak ECERDC dijadualkan pada 19 September ini.

"Seterusnya pihak JPNP akan memilih operator untuk mengoperasikan pusat pelancongan ini," katanya.

Artikel Berkaitan: