Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan, letupan

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan dan letupan di beberapa bahagian di wilayah Narathiwat, Thailand semalam, menurut Kementerian Luar.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, dilaporkan berlaku insiden tembakan dan letupan di beberapa bahagian di wilayah Narathiwat iaitu di daerah Ranget, Chanek, Sisakon dan Tak Bai pada 29 Disember bermula kira-kira 6.30 petang waktu tempatan.

“Kementerian Luar ingin menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand atau mereka yang tinggal di Thailand supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia juga digalakkan mendaftar diri mereka dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Pendaftaran boleh dilakukan sama ada menerusi e-mel atau faks kepada Kedutaan Malaysia, Bangkok 33-35, South Sathorn Road, Tungmahamek, Sathorn Bangkok 10120, Thailand atau hubungi +66-2-629 6800 / +66-87-028 4659 (selepas waktu bekerja), faks +66-2-679 2208 atau e-mel ke

Pendaftaran juga boleh dibuat melalui Konsulat Jeneral Malaysia, No. 4, Sukhum Road, Muang District Songkhla 90000, Thailand atau hubungi +66-7-431 1062 / +66-7-431 6274 / +66-81-990-1930 (WhatsApp), +66-7-432 4004 (faks) atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

Dilaporkan, dua bom meletup di Pantai Samila, Songkhla yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing termasuk dari Malaysia pada 10 malam (waktu tempatan) Rabu.

Pada Khamis, enam lagi bom meletup di beberapa daerah di wilayah Songkhla berdekatan sempadan Malaysia-Thai yang menumbangkan beberapa tiang elektrik tetapi tidak mengakibatkan sebarang kecederaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: