Hati-hati dengan penyerang korporat

A
A
A

DALAM beberapa rencana yang lepas, saya telah mengulas mengenai jual-beli harta korporat melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Saya memberi amaran walaupun penjualan aset, penggabungan dan pengambilalihan (merger and acquisition) adalah kegiatan biasa dunia korporat namun ia janganlah sampai merugikan GLC dan GLIC. Kita wajib faham bahawa asal-usul GLC dan GLIC berkait rapat dengan matlamat menyusun semula masyakat di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dijangka memainkan peranan yang sama dalam dasar perkongsian kemakmuran yang sedang dirancang sekarang.

Baru-baru ini beberapa penjualan aset dan cadangan penggabungan yang melibatkan GLC dan GLIC telah menarik perhatian dan mencetuskan kebimbangan.

Selain perniagaan biasa seperti membina dan menjual rumah, mengeluarkan dan menjual barang-barang, mengambil simpanan dan mengeluarkan pinjaman, GLC dan GLIC juga membeli dan menjual aset, khususnya saham. Penjualan saham dilakukan bagi mendapatkan keuntungan modal dan mengimbangkan portfolio pelaburan.

Yang membimbangkan ialah jual beli aset GLC dan GLIC secara paksa. Kegiatan ini melibatkan penyerang-penyerang korporat (corporate raiders) yang menggunakan pengaruh politik. Kalau jual beli biasa atas dasar suka sama suka dan dengan syarat-syarat yang saksama, ia tidak menjadi masalah. Yang dikhuatiri ialah penyerang-penyerang korporat ini menggunakan kedudukan dan pengaruh politik untuk memaksa GLC dan GLIC menjual aset mereka.

Misalnya, saya mendapat tahu ada beberapa orang raksasa korporat yang baru-baru ini cuba menggunakan pengaruh politik mereka untuk menggabungkan syarikat mereka dengan sebuah GLC milik Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Alhamdulillah, saya difahamkan percubaan itu tidak diteruskan setelah mendapat tentangan daripada pengurusan GLC berkenaan dan tidak dilayan oleh PNB.

Yang menjadi tarikan ialah tanah milik GLC tersebut seluas 20,572 ekar dengan anggaran nilai terbangun sebanyak RM89.3 bilion. Masalah kita dalam mempertahankan GLC dan GLIC ialah kebanyakan bumiputera tidak tahu atau tidak ambil berat perkara ini. Kalau mereka tahu dan peduli, bolehlah sama-sama mereka membantu mempertahankan GLC dan GLIC daripada percubaan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

Sekarang saya dimaklumkan yang penyerang-penyerang ini mengalihkan pandangan mereka kepada sebuah GLC milik Khazanah pula. Saya faham sangat tujuan mereka. Syarikat-syarikat GLC yang menjadi sasaran mereka mempunyai tanah (land bank) yang sangat luas yang boleh dimajukan untuk berbagai tujuan.

Saya cadangkan agar dibuat kajian rapi ke atas GLC yang telah dipaksa atau digoda untuk bergabung dengan syarikat swasta bukan bumiputera sebelum ini.

Setiap kali penyerang-penyerang korporat cuba mengambil alih atau bergabung dengan GLC, mereka akan janjikan prestasi dan keuntungan yang lebih baik kononnya kerana mereka mempunyai kepakaran yang lebih tinggi daripada pengurusan GLC. Serangan korporat pintu belakang ini berbeza daripada penggabungan dan pengambilalihan yang dirundingkan secara suka sama suka seperti yang melibatkan Axiata Berhad dengan Telenor.

Konglomerat telekomunikasi Axiata adalah GLC yang dikawal oleh Khazanah Malaysia Berhad manakala Telenor adalah syarikat telekomunikasi terbesar di Norway dan dikuasai oleh tabung kemakmuran negara tersebut. Setelah berunding dan melalukan kajian terperinci sejak Mei lalu, kedua-dua pihak akhirnya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cadangan itu.

Saya mendapat maklum bahawa hasil penelitian yang dilakukan itu, langkah memperkemas dan meningkatkan proses urus tadbir boleh dan perlu dilakukan. Saya juga dimaklumkan bahawa selain Telenor, ada beberapa buah syarikat telekomunikasi antarabangsa lain yang berminat meninjau kerjasama dengan Axiata.