Suasana merdeka di Pakeeza

A
A
A

TAHUN ini buat pertama kalinya saya menyambut hari kemerdekaan di Bandar Raya Ipoh memandangkan anak saudara sebelah isteri melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut. Mengambil kesempatan berada di Ipoh, selesai sahaja majlis perkahwinan pada sebelah petang, saya pergi menjamu selera di Restoran Pakeeza yang terletak di Jalan Dato Seri Ahmad Said.

Bagi mereka yang menyukai masakan India Utara, Restoran Pakeeza ialah tempat yang paling sesuai untuk menjamu selera, terutamanya bersama keluarga. Di Restoran Pakeeza, terdapat pelbagai jenis roti nan yang disediakan secara tradisional iaitu menggunakan tempayan tanah liat dan arang kayu.

Selain roti nan, terdapat juga roti puri yang merupakan salah satu kegemaran saya, terutama jika dimakan dengan kari kambing dan 'palak paneer' iaitu bayam yang dimasak hancur dengan keju. Memang menyelerakan. Palak paneer mengingatkan saya pada kartun kegemaran saya ketika kecil dahulu, iaitu Popeye yang akan menjadi kuat secara mendadak selepas memakan sayur bayam yang ditinkan. Apapun, palak paneer sememangnya sedap.

Sebenarnya, yang betul-betul menarik perhatian saya ketika menjamu selera di Restoran Pakeeza ialah kepelbagaian kaum dan keharmonian yang terlihat. Selain orang Melayu, saya lihat ramai juga masyarakat Cina, India serta Singh yang datang ke restoran tersebut untuk menjamu selera. Malah, ada juga pelancong asing. Lebih menarik lagi, ada satu meja besar yang diduduki oleh sekumpulan orang Melayu, Cina dan India. Suasana itu kelihatan sungguh muhibah.

Saya amat mementingkan kebersihan apabila memilih restoran yang akan dikunjungi, terutamanya restoran mamak yang beroperasi 24 jam. Mungkin agak sukar bagi mereka untuk mengekalkan kebersihan pada tahap optimum memandangkan sentiasa ada pengunjung yang berada dalam restoran. Bagi saya, kebersihan merupakan salah satu faktor utama sebelum saya memilih mana-mana restoran untuk menjamu selera.

Selain itu, layanan terhadap pelanggan juga amat penting. Masuk sahaja ke dalam Restoran Pakeeza, ada pelayan yang akan mengekori kita hingga ke meja makan untuk mengambil pesanan makanan. Tidak perlu menunggu atau memanggil mereka untuk membuat pesanan. Makanan yang dipesan juga dihantar dengan segera. Makanan sedap, layanan juga kelas pertama. Memang patut ramai yang suka datang ke restoran ini.

Pengunjung juga tidak perlu risau dengan status halal makanan di Restoran Pakeeza kerana mereka memiliki sijil halal yang sah serta mendapat Gred A untuk kebersihan. Kualiti makanan, suasana, tahap kebersihan dan layanan yang diberikan di Restoran Pakeeza sememangnya terbaik. Sebab itulah mereka menjadi pilihan utama bagi penggemar makanan India Utara.

Artikel Berkaitan:

Saya berkesempatan bertemu dengan pemilik Restoran Pakeeza yang bernama Rizal Ali Naizali. Rizal Ali yang berusia 44 tahun begitu mengambil berat tentang kualiti dan benar-benar memantau pekerjanya agar kualiti makanan serta perkhidmatan sentiasa terjaga. Malah, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja itu sering meluangkan masa di restoran tersebut, termasuk bahagian dapur untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Dengan pengurusan yang baik dan mengutamakan kualiti, tidak pelik jika Restoran Pakeeza tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Jika dilihat pada tulisan netizen di media sosial mutakhir ini, seolah-olah akan ada pergaduhan kaum tidak lama lagi.

Bagaimanapun hakikatnya, masyarakat berbilang kaum di Malaysia terutamanya tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India, masih dapat hidup dengan harmoni bersama-sama. Suasana yang saya lihat di Restoran Pakeeza adalah bukti akan hal ini. Sebagaimana sukan, makanan juga boleh menyatukan kita.

Saya seolah-olah merasakan suasana kemerdekaan yang sebenar ketika menjamu selera di Restoran Pakeeza pada hari kemerdekaan baru-baru ini dan saya rasa begitu juga di restoran-restoran mamak mahupun restoran Cina Muslim serta restoran Melayu di luar sana. Pelbagai bangsa dan agama dapat duduk di bawah satu bumbung, malah satu meja untuk menjamu selera. Mereka berkongsi cerita dan gelak tawa. Semoga semangat perpaduan yang sebegitu akan berkekalan selama-lamanya.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.