X

Kindly register in order to view this article
!

Batik Merbok berpotensi ke persada dunia

Shaiful Annuar (kanan) dan Zaidi menunjukkan produk Batik Merbok.
A
A

MERBOK - Dalam tempoh lima tahun, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah optimis Batik Merbok akan terus dikenali bukan sahaja di seluruh Malaysia malah di persada antarabangsa.

Rektornya, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid berkata, bercirikan 'custom made' atau eksklusif hanya dihasilkan berdasarkan tempahan pelanggan selain mementingkan kualiti, antara sebab ia menjadi buruan penggemar batik.

Menurutnya, lebih istimewa, Batik Merbok mempunyai lapan motif utama iaitu bakau, akar sintok, runtuhan monumen, buluh, burung merbok, tulisan sanskrit, seni ukiran dan slipper orkid yang mana kesemua motif ini saling berkait antara satu sama lain.

Produk Batik Merbok menjadi pilihan penggemar batik kerana rekaannya eksklusif.
Produk Batik Merbok menjadi pilihan penggemar batik kerana rekaannya eksklusif.

"Kita sedang menjalinkan kerjasama melalui memorandum perjanjian dengan sebuah syarikat dari segi pemasaran Batik Merbok.

"Hasrat membuka sebuah outlet lagi di luar kawasan kampus juga terlaksana apabila kini mempunyai Galeri Batik Merbok Jeti Semeling yang dibuka untuk tatapan umum," katanya.

Dalam masa sama, katanya, kewujudan galeri berkenaan mampu mengetengahkan batik sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara melalui pakej pelancongan Daerah Kuala Muda khususnya di Sungai Merbok yang terkenal dengan pelbagai khazanah bernilai termasuk kewujudan bakau terbaik di dunia.

Beliau berkata, disebabkan penghasilan secara 'custom made' menjadikan ia pilihan utama orang kenamaan dan kerabat diraja.

Galeri Batik Merbok Jeti Semeling turut menawarkan pelbagai produk cenderahati yang dihasilkan secara eksklusif.
Galeri Batik Merbok Jeti Semeling turut menawarkan pelbagai produk cenderahati yang dihasilkan secara eksklusif.

"Alhamdulillah setakat ini, kita mendapat kepercayaan menghasilkan batik canting untuk golongan diraja selain tempahan cenderahati, kain pasang dan selendang.

"Kita juga akan mempopularkan kembali baju Kedah menggunakan fabrik batik canting," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Zaidi Yusoff berkata, antara produk lain yang dihasilkan termasuk kain pario, sapu tangan dan pelbagai cenderahati.

"Rekaannya cukup menarik kerana dihasilkan berdasarkan motif tertentu setelah mendapat persetujuan pelanggan, di mana batik akan dicanting menggunakan lukisan tangan selain kombinasi warna sepadan menghasilkan rekaan eksklusif untuk si pemakai," katanya.

Shaiful Annuar (kanan) melihat kualiti produk cenderahati berasaskan batik yang dihasilkan.
Shaiful Annuar (kanan) melihat kualiti produk cenderahati berasaskan batik yang dihasilkan.

Menurut Zaidi, selain menghasilkan produk, pihaknya juga sentiasa memberi bimbingan dan latihan melalui bengkel disediakan kepada orang ramai termasuk generasi muda ataupun pelajar yang ingin mendalami bidang berkenaan.

Orang ramai yang ingin mengenali produk Batik Merbok secara dekat boleh berkunjung ke Galeri Batik Merbok Jeti Semeling atau Galeri Batik Merbok UiTM Kedah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus