Mahu buka institut pergigian

Dr Muhammad Safwan yang ditemani isterinya, Dr Adhwa Anis Zulkarnain ketika menerima Anugerah Doktor Gigi Muda Asia sempena IAE Dental Awards 2019 di Chennai, India pada 1 September lalu.
Dr Muhammad Safwan yang ditemani isterinya, Dr Adhwa Anis Zulkarnain ketika menerima Anugerah Doktor Gigi Muda Asia sempena IAE Dental Awards 2019 di Chennai, India pada 1 September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerima Anugerah Doktor Gigi Muda Asia pada IAE Dental Awards 2019, Dr Muhammad Safwan Majid memasang impian untuk membuka institut pergigian.

Beliau baru berusia 26 tahun tetapi telah memiliki tiga cawangan klinik gigi dalam tempoh setahun selepas menamatkan perkhidmatan dalam sektor kerajaan sememangnya satu pencapaian yang amat mengagumkan.

Menurut pemilik Bandar Putri Dental Clinic di Puchong ini, impiannya mahu memastikan ramai doktor gigi yang bekerja dalam sektor kerajaan dapat meluaskan kepakaran mereka apabila tamat kontrak.

“Berdasarkan kajian yang kami lakukan, kira-kira 4,000 doktor gigi muda yang sedang berkhidmat dalam sektor kerajaan ketika ini akan tamat kontrak beberapa tahun lagi.

“Mereka yang mempunyai kemahiran dan kepakaran ini boleh menggilap lagi kepakaran itu dengan menyertai institut pergigian kami bagi memantapkan kemahiran merawat pelbagai masalah berkaitan pergigian," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Muhammad Safwan ialah doktor pertama di Malaysia yang terpilih menerima anugerah tersebut di Chennai, India pada 1 September lalu, menewaskan calon finalis doktor gigi muda terkenal dari Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom dan India.

Graduan berkelulusan dalam bidang pergigian dari Universiti Al-Azhar Mesir itu berkata, anugerah tersebut adalah hadiah untuk negara yang menyambut Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos lalu.

Berkongsi perasaannya apabila terpilih menerima Anugerah Doktor Gigi Muda Asia, anak kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, ia sesuatu yang tidak disangka kerana sebelum ini anugerah tersebut dimiliki doktor-doktor terkenal di serata Asia.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada isteri serta ibu saya, kedua-duanya juga doktor gigi kerana banyak memberi dorongan serta sokongan kepada saya selama ini,” katanya.