Ketagihan internet sukar diatasi

Gambar hiasan sumber Internet (Gambar kecil: Dr Ahmad Zaki Abu Bakar)
Gambar hiasan sumber Internet (Gambar kecil: Dr Ahmad Zaki Abu Bakar)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketagihan masyarakat terhadap dunia digital termasuk internet agak sukar untuk dibendung kerana ia berlaku berdasarkan peredaran zaman yang menuju ke era revolusi digital.

Presiden Konfederasi Komputer Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku di negara ini malah turut berlaku di negara lain di peringkat global.

“Antara kesan ke arah dunia teknologi yang perlu dihadapi adalah ketagihan internet yang sememangnya memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Namun ia tidak boleh dielak kerana semua benda atau kemudahan kebanyakannya sudah ke arah digital termasuk peralatan rumah sehingga di dalam kenderaan semuanya menggunakan teknologi dan gajet. Maka untuk mengekang penggunaannya memang tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Biarpun ia sukar dikawal, Ahmad Zaki berkata, masyarakat masih lagi boleh mengatasinya dengan mendidik anak-anak sejak dari awal tentang penggunaan teknologi tersebut.

“Anak-anak sekarang lahir di zaman gajet, internet dan pelbagai teknologi yang tidak boleh dihalang namun ibu bapa itu perlu main peranan untuk mengawal penggunaannya dengan mendedahkan perkara yang positif dan negatif apabila menggunakannya.

“Sediakan peraturan dalam keluarga yang boleh mengekang anak-anak terbiasa dengan gajet pada waktu-waktu tertentu. Seperti waktu makan dan tidur, perlu dielak daripada memegang telefon pintar atau gajet. Ia nampak remeh, namun jika dilakukan pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Ahmad Zaki berkata, bagi remaja pula yang kini sudah terbiasa dengan gajet dan internet, kerajaan atau pihak yang terlibat perlu mainkan peranan dengan menyediakan aktiviti menarik untuk golongan ini.

Artikel Berkaitan:

“Libatkan anak-anak muda dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan di lapangan atau kelab beruniform yang menjadikan masa mereka terhad untuk memegang telefon atau gajet," katanya.