Dua nelayan hilang, bot dilanggar kapal dagang

Bot nelayan tersebut telah ditunda ke Jeti Pulau Ketam.
Bot nelayan tersebut telah ditunda ke Jeti Pulau Ketam.
A
A
A

KLANG - Dua nelayan dikhuatiri lemas apabila bot Kelas C dinaiki mereka mengalami kebocoran dan nyaris tenggelam selepas dilanggar sebuah kapal dagang pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey, Selangor awal pagi tadi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, dalam kejadian itu, seorang tekong warga tempatan bersama tiga awak-awak warga Myanmar keluar ke laut pada jam 10 malam.

“Ketika sedang menangkap ikan, berlaku perlanggaran di antara bot dengan kapal dagang yang menyebabkan bot tersebut mengalami kebocoran hingga keempat-empat mereka tercampak ke dalam laut.

“Dua awak-awak warga Myanmar telah diselamatkan rakan nelayan yang lain manakala tekong dan seorang lagi awak-awak tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, bot nelayan tersebut telah ditunda ke Jeti Pulau Ketam.

Menurutnya, sebuah aset udara maritim telah dikerah ke lokasi kejadian dan dibantu bot peronda Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk pencarian mangsa.

“Operasi diaktifkan pada jam 9.30 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Nelayan Sungai Ayer Hitam, Kuala Langat. Pencarian kedua-dua mangsa yang hilang masih diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan: