PTPTN cadang Sabah pilih SSPN sebagai insentif

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KOTA KINABALU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencadangkan kepada kerajaan Sabah untuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama, dalam pemberian insentif ataupun hadiah bagi program-program di masa hadapan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini termasuk mewujudkan program Tabung Simpanan Pendidikan Sabah bagi kelahiran baharu di negeri itu, seperti mana dilaksanakan di Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu.

Menerusi pelaksanaan program tabung simpanan di empat negeri terbabit, Wan Saiful berkata, setiap kelahiran baharu akan menerima sumbangan RM100 hingga RM200 mengikut negeri, yang diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i.

"Selain itu, menyediakan hadiah kepada pelajar cemerlang bagi peperiksaan utama, seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, serta hadiah bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penjawat awam Sabah, dalam bentuk akaun SSPN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SSPN 2019 peringkat Sabah, yang dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Ewon Benedick, mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Wan Saiful berkata pihaknya yakin kerajaan Sabah akan memperhalusi cadangan berkenaan, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu, selain usaha menggalakkan rakyat membuat persediaan awal daripada aspek kewangan, untuk anak-anak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful berkata PTPTN telah meluluskan pinjaman pendidikan kepada seramai 191,855 pelajar Sabah melibatkan jumlah pengeluaran RM3.3 bilion, sehingga 31 Julai lepas.

Secara puratanya, kira-kira 11,000 anak-anak Sabah mendapat peluang, melanjutkan pengajian tinggi setiap tahun dengan jumlah peruntukan tahunan RM180 juta, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Shafie dalam teks ucapannya dibacakan oleh Ewon berkata, usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat untuk membuat tabungan pendidikan adalah tindakan yang perlu terus disokong oleh semua pihak.

"Saya menggalakkan golongan ibu bapa di Sabah yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan untuk anak-anak memulakan inisiatif menabung hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, Wan Saiful menyerahkan replika cek RM100,000 kepada Ewon, sebagai sumbangan simpanan akuan SSPN-i kepada 1,000 pelajar asnaf melibatkan 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah, menerusi tanggungjawab sosial korporat agensi itu.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah. - Bernama