X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran bau kerana sistem kumbahan lama

Hassan (kanan) merasmikan program Usaha dan Cabaran Mengaplikasikan Penjagaan Alam Sekitar Sungai Masai Besar di Kompleks Nelayan Pasir Gudang Baru di sini hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Pencemaran bau yang mengganggu penduduk di kawasan ini dipercayai berpunca daripada sisa kumbahan najis yang gagal diproses dengan betul.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, masalah itu berlarutan kerana sehingga kini semua binaan yang berada di kawasan berkenaan masih menggunakan sistem kumbahan najis primitif.

Menurutnya, sehingga kini tiada sistem kumbahan yang profesional di Pasir Gudang dan masih menggunakan sistem lama.

“Ini membabitkan semua, kawasan perumahan, sekolah dan premis lain.

Semua sisa masih dibuang ke dalam kolam rawatan kumbahan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Usaha dan Cabaran Mengaplikasikan Penjagaan Alam Sekitar Sungai Masai Besar di Kompleks Nelayan Pasir Gudang Baru hari ini.

Hassan berkata, campur tangan kerajaan negeri perlu bagi mengatasi masalah tersebut sebelum menjadi semakin serius.

“Kerajaan Johor perlu segera selesaikan masalah ini mungkin dengan mencari inisiatif memodenkan sistem kumbahan atau melantik pihak yang lebih layak.

“Saya sudah buat tinjauan. Kamu (wartawan) boleh pergi ke Sekolah Agama Taman Cendana, di sana boleh bau dengan kuat kerana betul-betul ada loji rawatan di sebelahnya. Apabila cuaca panas wap yang keluar berbau busuk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hassan juga mecadangkan kerajaan negeri membina sendiri sebuah loji pelupusan sisa kimia untuk pengawalan secara lebih berkesan bahan merbahaya itu.

Katanya, industri di Pasir Gudang perlu melupuskan sisa kimia di pusat pelupusan di Negeri Sembilan sekali gus meningkatkan risiko pencemaran udara sisa kimia di sini.

"Kos tinggi melupuskan sisa kimia di Negeri Sembilan sehingga ada industri yang secara senyap rahsia melupuskan sisa kimia ke sungai di sekitar Pasir Gudang bagi menjimatkan kos operasi mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus