Polis rakam keterangan pemandu Myvi langgar dua pelajar

Kejadian kemalangan yang mengakibatkan dua pelajar perempuan cedera petang semalam.
Kejadian kemalangan yang mengakibatkan dua pelajar perempuan cedera petang semalam.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis telah merakamkan keterangan pemandu sebuah kereta Perodua Myvi terbabit kemalangan yang mengakibatkan dua pelajar cedera parah di SS17/2 di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, turut dirakam keterangan saksi yang melihat kejadian dilapor berlaku pada jam 6.10 petang itu untuk membantu siasatan.

Menurutnya, gambar kejadian terbabit menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta Myvi dipandu wanita berusia 25 tahun itu tidak sempat berhenti apabila dua pelajar sekolah tiba-tiba melintas laluan tersebut.

“Ketika pemandu berkenaan sampai di Jalan SS17/2, tiba-tiba dua pelajar perempuan berumur 15 tahun melintas jalan sambil berlari dari arah kanan menyebabkan pemandu tidak sempat tekan brek lalu melanggar mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah dihantar ke sebuah pusat perubatan swasta untuk mendapat rawatan. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu beliau berkata, kemalangan berlaku di jalan lurus yang mempunyai tiga lorong dan kejadian berlaku di jalan kering.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan berhati-hati semasa melintas jalan.